PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli perlu meletakkan sasaran lebih realisitik dengan mengumpul mata dalam setiap perlumbaan sebelum memikirkan keputusan podium.
Semalam, pelumba yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu menamatkan saingan pada Grand Prix Motosikal Amerika Syarikat (AS) di kedudukan ke-13 (31 minit 39.002 saat) dan membawa pulang tiga mata, walaupun, terpaksa bermula dari petak tercorot (P25).
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, seperti semua sedia maklum Litar COTA sangat tenikal dan sukar terutama bagi pelumba baharu seperti Hakim Danish.
“Kita nampak adaptasi Hakim Danish di litar ini agak lambat untuk dia sesuaikan diri dan ada beberapa cabaran seperti kemalangan.
“Saya percaya ia adalah sebahagian daripada proses yang Hakim perlu lalui. Tetapi kita nampak kesungguhan Hakim daripada belakang sekali, berjuang untuk kedudukan P13,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Menurut Zulfahmi, beliau sendiri banyak berkomunikasi dengan Hakim Danish selepas sesi kelayakan berakhir kerana fokus pelumba itu perlu lebih realistik untuk berada di kedudukan mengumpul mata.
Sementara itu, Hakim Danish dalam maklum balasnya selepas perlumbaan pusingan ketiga itu berakhir berkata, GP AS agak sukar serta mencabar untuknya lebih-lebih lagi selepas terjatuh dan terpaksa bermula di kedudukan terakhir.
“Perlumbaan agak mencabar, saya perlu memintas banyak pelumba, terutama tiga pusingan terawal, saya cuba mencari ruang memintas di setiap selekoh, alhamdulillah saya berjaya memintas seorang demi seorang pelumba dan sewaktu hampir sampai dekat kumpulan kedua, saya buat kesilapan dekat ‘chicane’ dan tercicir,” katanya.
Kata Hakim Danish, dia menggunakan tayar lembut kerana Litar COTA merupakan trek yang panjang dan sangat teknikal, jadi, keputusan itu berjaya membantunya mengawal tayar dengan baik.
“Untuk keseluruhan hujung minggu ini, saya banyak belajar dan saya akan guna pengalaman ini untuk tidak buat kesilapan sama terutama pada sesi kelayakan, saya akan terus bekerja keras serta perbaiki kekurangan untuk perlumbaan akan datang di Jerez,” ujarnya.-UTUSAN










