KPI emas olahraga dinaikkan

KPI emas olahraga dinaikkan

Kuartet 4x100 meter negara yang menyertai Sukan SEA 2025 Thailand. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kem olahraga negara berdepan tugas getir apabila petunjuk prestasi utama (KPI) kutipan pingat emas dijangka meningkat pada Sukan SEA 2027 di Malaysia.

Ketua jurulatih lompatan Olahraga Malaysia (MA), Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, cabaran itu perlu diterima secara positif demi memastikan prestasi olahraga negara terus meningkat.

Menurut Manshahar, sasaran tersebut menjadi amanah besar kepada barisan kejurulatihan dan atlet untuk memastikan pencapaian lebih baik berbanding edisi sebelumnya.

“Pada saya, sasaran yang diletakkan ialah untuk melebihi jumlah pingat emas daripada sebelum ini dan itu merupakan tanggungjawab yang perlu kami galas.

“Kami perlu bekerja keras sebagai satu pasukan melibatkan jurulatih, pengurusan, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta semua pihak yang terlibat bagi memastikan kejayaan olahraga,” kata Manshahar.

Beliau berkata, struktur baharu kejurulatihan yang sedang dilaksanakan diharapkan mampu memperkemaskan program latihan serta meningkatkan prestasi atlet secara menyeluruh.

Menurutnya, gabungan tenaga antara badan-badan sukan termasuk MSN dan ISN diyakini mampu memperkukuh pembangunan atlet elit negara.

“Saya yakin dengan proses penilaian yang dilakukan serta pemilihan jurulatih yang benar-benar bersedia untuk membantu mengembalikan kekuatan olahraga negara,” katanya.

Untuk rekod, pada Sukan SEA Thailand di Bangkok Disember tahun lalu, sukan olahraga menjadi penyumbang terbesar pingat emas dalam temasya dwitahunan itu dengan kutipan lima emas, lima perak dan enam gangsa sekaligus mencapai 16 pingat secara keseluruhan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN