Sentuhan keibuan Kak Da jaga, majukan Ladang

Sentuhan keibuan Kak Da jaga, majukan Ladang

ZIARAH Komuniti menjadi satu program wajib mendekati rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASRAT melihat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di Kuala Terengganu terus maju tanpa mengabaikan aspek kebajikan menjadi pegangan Zuraida Md. Noor dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Sebagai satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita di Terengganu, beliau melihat kedudukan itu sebagai amanah besar untuk memastikan setiap perancangan pembangunan benar-benar dirasai penduduk.

Beliau yang mesra dipanggil Kak Da beranggapan Ladang bukan sekadar kawasan yang diwakilinya tetapi tempat yang perlu dijaga dan dibangunkan secara seimbang.

“Kita mahu kawasan ini terus maju tetapi pada masa sama kebajikan rakyat tidak terabai,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

SENTUHAN KEIBUAN DEKATI RAKYAT

Mengakui latar dirinya sebagai seorang isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata banyak mempengaruhi gaya kepemimpinannya, Zuraida lebih selesa menggunakan pendekatan bersifat keibuan dalam mendekati masyarakat.

Beliau kerap turun padang menziarahi warga emas, ibu tunggal, pesakit terlantar dan keluarga yang berdepan kesempitan hidup bagi memahami sendiri denyut nadi rakyat.

“Ada yang perlukan bantuan kewangan, ada yang cuma mahu didengari. Kadangkala saya duduk berbual lama, tanya keadaan anak-anak mereka, persekolahan dan keperluan dapur. Bagi saya, sentuhan emosi itu penting. Rakyat mahu rasa dihargai dan tidak dipinggirkan,” ujarnya.

Baginya pendekatan santai seperti minum pagi bersama komuniti, menghadiri program di surau dan masjid serta menyertai aktiviti penduduk membuka ruang komunikasi dua hala yang lebih telus dan mesra.

PELAN STRATEGIK JADI PANDUAN

Dalam memastikan pembangunan lebih tersusun, beliau merangka Pelan Strategik Pembangunan Komuniti 2024-2029 yang memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu Kepemimpinan, Kebajikan dan Kesejahteraan.

Pelan itu dirangka berdasarkan maklum balas rakyat yang diterima sepanjang sesi turun padang dan pertemuan bersama komuniti setempat.

Di bawah teras kepimpinan, pihaknya memberi perhatian kepada pembinaan pemimpin pelapis dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) supaya tadbir urus di peringkat akar umbi lebih berkesan.

“Kita mahu pemimpin yang bukan sahaja cekap mengurus, tetapi ada empati dan memahami situasi rakyat,” katanya.

BANTUAN LEBIH BERSASAR

Sementara itu, bantuan bersasar kepada golongan berpendapatan rendah menjadi keutamaan Zuraida dalam membantu penduduk mendepani peningkatan kos sara hidup.

Melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), penyaluran bantuan dilaksanakan secara lebih sistematik dan telus. Antara

inisiatif digerakkan adalah Program Seraga Hijau, bantuan barangan dapur, bantuan persekolahan, bantuan kepada usahawan kecil serta bantuan khas ibu tunggal.

“Saya pastikan setiap kes dinilai dengan teliti. Kita tidak mahu ada yang tercicir terutama golongan yang benar-benar memerlukan bantuan ,” katanya yang turut

menekankan kepentingan pemantauan berterusan agar bantuan disalurkan memberi impak jangka panjang kepada penerima.

 

 

BIODATA Zuraida Md. Noor
Umur: 46 tahun
Status: Berkahwin
Suami: Mohd. Arman Mat Chik
Anak: 3 orang
Pendidikan:
 Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Open University Malaysia
 Diploma Kejuruteraan Pembuatan (Major Tool & Die Design), Terengganu Advanced Technical Institute
Jawatan Parti:
 Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat Pas Malaysia
 Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Terengganu
 Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Kuala Terengganu
 Ketua Wanita Perikatan Nasional Kuala Terenggan

 

 

PERKASA BELIA DAN USAHAWAN

Selain kebajikan, aspek pemerkasaan ekonomi komuniti turut diberi perhatian khusus. Antara program dilaksanakan ialah Kursus Asas TikTok dengan kerjasama

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), kelas kemahiran menjahit bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu serta kursus pemasaran digital dan pembuatan produk makanan.

Zuraida percaya pendedahan kepada kemahiran baharu dan teknologi digital membuka peluang lebih luas kepada belia serta usahawan kecil menjana pendapatan.

“Kita mahu mereka berdikari dan berani mencuba sesuatu yang baharu. Dengan ilmu dan bimbingan, insya-Allah mereka boleh pergi lebih jauh,” katanya.

PENDIDIKAN PELABURAN MASA DEPAN

Menyedari kepentingan pendidikan untuk masa depan, beliau memberi penekanan kepada bidang itu sebagai asas pembangunan jangka panjang. Pelbagai program dilaksanakan termasuk Kelas Pandai Membaca untuk kanak-kanak enam tahun, Tuisyen Rakyat bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), program motivasi serta bantuan persekolahan setiap tahun.

Beliau percaya akses pendidikan yang adil mampu mengubah masa depan generasi muda di DUN Ladang.

“Pendidikan adalah pelaburan paling penting. Kita mahu anak-anak di sini bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan tetapi membesar dengan keyakinan dan hala tuju yang jelas,” katanya.

RAKYAT TERJAGA

Bagi Zuraida, kemajuan tidak boleh diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal namun perlu dilihat daripada aspek kesejahteraan hidup masyarakat.

Keseimbangan antara pembangunan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi dan kebajikan sosial menjadi kunci kepada keharmonian serta kemajuan berterusan.

“Apabila kita bercakap tentang kemajuan, ia bukan sekadar projek atau bangunan baharu tetapi bagaimana rakyat merasai perubahan itu dalam kehidupan harian mereka. Saya mahu Ladang terus maju tetapi pada masa sama kekal terjaga dari segi kebajikan, pendidikan, keselamatan dan keharmonian komuniti,” katanya.

Selagi diberi amanah, beliau bertekad terus mendekati rakyat, mendengar keluhan mereka dan berusaha mencari penyelesaian terbaik. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×