Kecuaian penganjur sekat aksi Williams-Fernandez

Kecuaian penganjur sekat aksi Williams-Fernandez

PEMAIN Amerika Syarikat (AS), Venus Williams memulangkan pukulan ke arah lawannya dari Perancis, Diane Parry pada hari kedua kejohanan tenis Terbuka Indian Wells di Indian Wells Tennis Garden, California, pada 5 Mac lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CALIFORNIA: Penganjur kejohanan tenis Terbuka Indian Wells memohon maaf kepada jaguh Amerika Syarikat (AS), Venus Williams dan pasangannya dari Kanada, Leylah Fernandez selepas kesilapan pentadbiran menyebabkan mereka terlepas peluang beraksi dalam acara beregu wanita.

Kesilapan itu berlaku apabila kemasukan wildcard gandingan Williams-Fernandez tidak disahkan sebelum undian beregu dibuat sekali gus menutup peluang pasangan berprofil tinggi itu untuk menyertai pertandingan tersebut.

Situasi berkenaan mengecewakan ramai peminat yang menantikan kemunculan semula pasangan itu selepas mereka pernah mara sehingga suku akhir Terbuka AS tahun lalu.

Penganjur kejohanan dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa kesilapan tersebut hanya disedari selepas undian rasmi telah dimuktamadkan.

“Kami bekerjasama dengan penyelia Persatuan Tenis Wanita (WTA) untuk meneliti semua pilihan yang ada, namun kerana undian telah pun dibuat, kesilapan itu tidak dapat diperbetulkan.

“Kami memohon maaf kepada Venus, Leylah dan pasukan mereka serta kesal kerana para peminat tidak dapat menyaksikan gandingan ini beraksi di Indian Wells tahun ini,” kata penganjur.

Terdahulu, Williams yang juga juara tujuh gelaran Grand Slam tersingkir seawal pusingan pertama acara perseorangan selepas tewas kepada pemain Perancis, Diane Parry.

Fernandez pula terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada pemain Republik Czech, Katerina Siniakova namun kedua-duanya masih akan beraksi dalam acara beregu campuran bersama pasangan masing-masing. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN