Kecederaan tidak halang Wei Chong buru pingat di BAC

Kecederaan tidak halang Wei Chong buru pingat di BAC

Man Wei Chong dan Tee Kai Wun akan beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China yang bermula 7 hingga 12 April ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong tetap akan turun beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China yang bermula 7 hingga 12 April ini biarpun masih bergelut dengan kecederaan lutut.

Pemain berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan melibatkan anterior cruciate ligament (ACL), meniskus dan chondral, namun masalah itu tidak menghalangnya daripada terus memburu kejayaan bersama gandingannya, Tee Kai Wun.

Wei Chong berkata, beliau kini berada pada fasa akhir persiapan selepas kembali menjalani latihan di gelanggang dan menyifatkan tahap pemulihan semakin positif walaupun masih perlu berhati-hati.

Katanya, doktor tidak mencadangkan pembedahan sebaliknya beliau perlu memberi tumpuan kepada pemulihan, pengukuhan otot serta pengurusan kecederaan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.

“Saya baru kembali ke latihan dan setakat ini perkembangan agak baik. Masih ada kira-kira seminggu untuk bersedia ke BAC, jadi saya akan cuba berikan yang terbaik di sana.

“Fokus utama sekarang adalah memastikan kecederaan tidak bertambah buruk. Doktor pun nasihatkan tiada pembedahan, cuma perlu jaga pemulihan dan kekuatan otot,” katanya.

Pada edisi tahun lalu, gandingan Wei Chong-Kai Wun yang turun selaku pilihan kelapan kejohanan gagal mencapai sasaran apabila tersingkir di pusingan kedua kepada pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han.

Bagaimanapun, dengan kepercayaan yang terus diberikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meskipun tahap kecergasan belum sepenuhnya pulih, Wei Chong bertekad untuk membalas kepercayaan tersebut dengan membawa pulang pingat.

“Saya mahu buktikan sesuatu kerana BAM masih beri peluang walaupun saya ada kecederaan. Kalau boleh, saya mahu pulang dengan pingat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN