Jun Hao galas tugas berat di Piala Thomas

Jun Hao galas tugas berat di Piala Thomas

LEONG Jun Hao menjadi taruhan utama acara perseorangan di Piala Thomas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan No.1 negara, Leong Jun Hao bakal memainkan peranan besar di barisan hadapan untuk memikul tanggungjawab sebagai perseorangan pertama skuad Piala Thomas negara.

Berdasarkan kedudukan ranking, pemain berusia 27 tahun itu pilihan paling realistik untuk menggalas tugas tersebut bagi mencabar pemain terbaik dunia, namun isu konsistensi kini menjadi musuh utamanya di gelanggang.

Jun Hao sendiri mengakui masih berdepan cabaran dari segi konsistensi, namun sedang berusaha memperbaiki prestasi bagi memastikan dia mampu menewaskan pemain elit dalam kejohanan-kejohanan disertai.

“Ada sikit rasa macam itu (bergelut), tetapi sekarang kami sedang berbincang dan cuba lakukan sesuatu supaya saya boleh jadi lebih konsisten untuk terus menewaskan pemain-pemain terbaik.

“Saya rasa perlu perbaiki secara keseluruhan kerana untuk menewaskan mereka bukan hanya satu atau dua perkara, tetapi semua aspek permainan perlu dipertingkatkan,” kata Jun Hao selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, kelmarin.

Situasi semasa menyaksikan harapan Malaysia dalam acara perseorangan banyak bergantung kepada Jun Hao serta pemain muda Justin Hoh selepas prestasi tidak menentu bekas juara All England, Lee Zii Jia.

Situasi itu menjadikan peranan Jun Hao lebih kritikal jika Malaysia mahu memastikan satu mata penting mampu diraih daripada kem perseorangan pada kejohanan berprestij tersebut.

Keadaan itu berbeza dengan kuasa besar badminton seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Indonesia yang memiliki lebih daripada seorang pemain perseorangan yang mampu mengutip mata.

Jun Hao bagaimanapun menegaskan status sebagai perseorangan pertama tidak mengubah pendekatannya kerana keutamaan tetap diberikan kepada perjuangan pasukan.

“Ini kali pertama saya mungkin bermain sebagai perseorangan pertama dalam Piala Thomas, jadi apa yang penting ialah berjuang habis-habisan untuk setiap mata demi pasukan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN