PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengatasi pencapaian kelab gergasi Jerman, Bayern Munich selepas mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut.
Untuk rekod, Bayern pernah mendominasi saingan Bundesliga dengan mempertahankan kejuaraan selama 11 kali berturut-turut dari musim 2012/13 hingga 2022/23.
Harimau Selatan melakar sejarah sebagai satu-satunya kelab Asia Tenggara dalam kelompok dunia selepas sah menjulang kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut pada Ahad lalu.
Bagi peringkat global, Harimau Selatan kini memegang rekod kedua dunia bagi siri kejuaraan liga yang masih aktif (active longest streaks), berkongsi kedudukan bersama kelab Tajikistan, FC Istiklol.
“Dalam statistik sepanjang zaman termasuk rekod siri yang sudah tamat, JDT secara rasmi berada di kelompok 10 terbaik dunia. Rekod 12 kejuaraan berturut-turut Liga Super Malaysia ini membolehkan JDT memintas pencapaian kelab gergasi Eropah seperti Bayern Munich yang pernah memegang rekod 11 kejuaraan berturut-turut.
“JDT kini hanya dipisahkan oleh PFC Ludogorets dari Bulgaria (14 kali) bagi siri aktif, serta rekod sepanjang zaman milik Tafea FC dari Vanuatu (15 kali).
“Kejayaan ini membuktikan dominasi mutlak JDT yang kini berada di landasan tepat untuk memecahkan rekod dunia, sekaligus meletakkan nama Johor dan Malaysia di puncak peta bola sepak antarabangsa,” menurut perkongsian JDT di laman Facebook mereka.
Rekod dunia kelab yang memenangi kejuaraan domestik berturut-turut terbanyak dipegang Tafea FC yang mempertahankan gelaran Liga Bolasepak Port Vila sebanyak 15 kali antara musim 1994 hingga 2008/09.
JDT yang mula dijenamakan pada 2013 mempertahankan kejuaraan Liga Super selama 12 musim berturut-turut sejak 2014 selepas menewaskan kelab Brunei, DPMM FC 3-0 pada aksi ke-19 liga musim ini pada Ahad lalu.-UTUSAN










