BERGAMO: Itali semakin hampir menamatkan kemarau 12 tahun tanpa penampilan di pentas Piala Dunia selepas menewaskan Ireland Utara 2-0 dalam aksi play-off, semalam.
Dua jaringan pada separuh masa kedua menerusi Sandro Tonali dan Moise Kean memastikan skuad Azzurri melangkah ke final play-off untuk bertemu Bosnia-Herzegovina, Selasa ini.
Perlawanan yang berlangsung dalam suasana penuh tekanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut mencipta peluang namun Itali lebih berkesan memanfaatkan ruang yang terhidang.
Tonali membuka tirai jaringan pada minit ke-56 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Ireland Utara.
Kean kemudian mengesahkan kemenangan Itali pada minit ke-80 apabila melakukan gerakan solo sebelum melepaskan sepakan tepat ke penjuru gawang.
Ketua jurulatih Itali, Gennaro Gattuso mengakui perlawanan tersebut antara yang paling mencabar dalam kariernya namun memuji kesungguhan anak buahnya.
“Kami tahu ini perlawanan yang sukar. Para pemain bekerja keras dan berjaya mendapatkan keputusan yang diperlukan,” katanya.
Itali yang sebelum ini gagal layak ke dua edisi Piala Dunia berturut-turut dilihat lebih berhati-hati dalam perlawanan tersebut, tambahan pula berdepan pasukan muda Ireland Utara yang beraksi penuh disiplin.
Walaupun jarang menyerang, Ireland Utara berjaya mengekang serangan Itali hampir sepanjang perlawanan sebelum dua kesilapan dihukum pihak lawan.
Kapten Ireland Utara, Trai Hume menyifatkan kekalahan itu sebagai pengalaman berharga buat pasukan mudanya.
“Kami kecewa, tetapi ini proses pembelajaran. Pasukan ini masih muda dan akan terus berkembang,” ujarnya. – AFP











