GP Australia bukan penentu musim

GP Australia bukan penentu musim

OSCAR PIASTRI - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Pelumba McLaren, Oscar Piastri menegaskan keputusan Grand Prix (GP) Australia tidak semestinya mencerminkan hala tuju sebenar saingan Formula Satu (F1) musim 2026 yang bakal memasuki era peraturan baharu.

Menurut Piastri, perlumbaan pembukaan musim di Litar Albert Park hanya permulaan kepada pertarungan panjang yang dijangka menyaksikan persaingan sengit daripada segi pembangunan jentera sepanjang tahun.

Spekulasi ketika ini meletakkan Mercedes sebagai pasukan pilihan untuk meraih kejuaraan dunia namun Piastri percaya segala-galanya masih terbuka.

“Saya rasa kami berada dalam kelompok persaingan buat masa ini. Kita akan mengetahuinya tidak lama lagi tetapi saya tidak fikir kami berada dalam kedudukan seperti 12 bulan lalu apabila kami merasakan kami adalah yang paling kuat.

“Saya rasa musim ini tidak akan ditentukan oleh siapa yang paling pantas atau terbaik pada perlumbaan pertama.

“Akan ada banyak pembangunan dan proses pembelajaran, khususnya dengan peraturan baharu. Pasukan yang paling cepat menyesuaikan diri dalam musim yang panjang ini akan berada di hadapan,” katanya.

Bagaimanapun, Piastri optimis dengan kemampuan pasukannya untuk bangkit sekiranya tersilap memilih haluan pembangunan.

“Setiap kali berlaku perubahan peraturan, pasti ada beberapa pendekatan berbeza. Kita sudah lihat beberapa pasukan memilih laluan masing-masing.

“Saya yakin dengan kecekapan pasukan kami, terutamanya barisan kejuruteraan. Dalam dua atau tiga tahun kebelakangan ini, kami telah membuktikan mampu memperbaiki keadaan dengan cepat,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN