F1: Mercedes dominasi GP Australia

F1: Mercedes dominasi GP Australia

George Russell, (dua dari kanan) meraikan kejayaan bersama, Kimi Antonelli (kiri) dan Charles Leclerc (kanan), selepas GP Australia di Litar Albert Park, semalam-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Mercedes memberi isyarat awal kepada pencabar apabila memulakan musim baharu Formula Satu (F1) 2026 dengan dominasi satu-dua pada Grand Prix (GP) Australia di Litar Albert Park, semalam.

Perlumbaan itu menyaksikan George Russell muncul pemenang pertama era peraturan baharu F1, manakala rakan sepasukannya Kimi Antonelli melengkapkan hari gemilang Mercedes dengan kedudukan kedua.

Russell bagaimanapun tidak memperoleh kemenangan mudah apabila dipaksa bekerja keras menahan tekanan daripada pelumba Ferrari, Charles Leclerc terutama pada fasa awal perlumbaan.

“Perasaannya sangat luar biasa kerana perlumbaan ini benar-benar sengit sejak dari petak mula.

“Sebaik perlumbaan bermula saya dapati tahap bateri hampir kosong, namun saya tetap berjaya melakukan permulaan yang baik sebelum terlibat dalam pertarungan rapat dengan Charles,” kata Russell.

Russell turut mengakui jentera baharu Mercedes masih mempunyai beberapa kelemahan terutama ketika di selekoh, namun berpuas hati dengan prestasi keseluruhan jentera tersebut.

“Saya perlu bekerja keras mengawal kereta kerana ada sedikit masalah di selekoh, tetapi pasukan melakukan kerja hebat menyediakan jentera yang cukup kompetitif,” katanya.

Sementara itu, Antonelli yang melakukan penampilan sulung musim penuh membuktikan kehebatannya menerusi aksi kebangkitan luar biasa selepas tercicir ke kedudukan ketujuh di awal saingan akibat permulaan yang hambar.

“Permulaan saya tadi sangat teruk dan saya kehilangan banyak kedudukan. Bagaimanapun, kelajuan jentera sangat kuat terutamanya di penghujung perlumbaan,” ujar pemandu muda Itali itu.

Di sebalik kegagalan Ferrari memburu kemenangan, Leclerc tetap menaiki podium di tempat ketiga manakala rakan sepasukannya Lewis Hamilton menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat. – AGENSI

KAPSYEN: George Russell, (dua dari kanan) meraikan kejayaan bersama, Kimi Antonelli (kiri) dan Charles Leclerc (kanan), selepas GP Australia di Litar Albert Park, semalam-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN