UPPSALA: Jaguh lompat bergalah dunia, Armand Duplantis sekali lagi mencipta sejarah apabila memecahkan rekod dunia buat kali ke-15 selepas melepasi ketinggian 6.31 meter (m) pada kejohanan yang berlangsung di Uppsala, kelmarin.
Atlet Sweden berusia 26 tahun itu memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri sejak kali pertama mencatat lompatan 6.17m pada 2020 yang gagal ditandingi oleh mana-mana atlet dalam acara itu.
Duplantis hanya melakukan empat percubaan lompatan pada kejohanan tertutup di bandar kelahirannya itu dan ia sudah cukup untuk mengekalkan statusnya sebagai jaguh dunia.
Selepas melepasi 5.65m, 5.90m dan 6.08m, semuanya pada percubaan pertama, Duplantis meminta palang dinaikkan sebanyak 23 sentimeter kepada ketinggian rekod dunia.
Duplantis kemudian berjaya melepasi palang itu pada percubaan pertama, sekali gus menamatkan aksinya pada malam itu dengan penuh bergaya.
Ia adalah kali kedua Duplantis memecahkan rekod dunia di Sweden selepas melepasi 6.28m di Stockholm pada Jun tahun lalu, yang menjadi salah satu daripada empat rekod dunia yang diciptanya pada 2025.
“Ini gelanggang saya.
“Ini gelanggang kita semua. Begitulah keadaannya. Setiap kali saya berada di trek, saya mewakili anda semua dan saya melakukannya dengan penuh bangga.
“Saya sangat bangga dapat melakukannya di hadapan anda. Saya melompat untuk diri sendiri, untuk keluarga saya, tetapi juga untuk anda semua, untuk Sweden dan untuk semua yang menyokong saya,” kata Duplantis kepada penonton.
Sementara itu, atlet Norway, Sondre Guttormsen menduduki tempat kedua dengan lompatan 6.00m. – AGENSI










