PETALING JAYA: Dua beradik berjaya diselamatkan dalam kebakaran di tingkat tiga sebuah apartmen di Jalan 1 Emas, Taman Megah Emas di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.37 pagi dan seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dengan bantuan BBP Petaling Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kebakaran melibatkan apartmen empat tingkat.
Menurutnya, kebakaran memusnahkan kira-kira 50 peratus bahagian ruang tamu rumah berkeluasan 600 kaki persegi.
“Anggota bomba menemukan dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia empat hingga enam tahun dalam sebuah bilik dalam keadaan separuh sedar.
“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diberikan rawatan dan dihantar ke Kelana Jaya Medical Center untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ketika kejadian, kedua-dua ibu bapa mangsa dipercayai sedang bekerja.
“Operasi kebakaran berjaya dikawal pada pukul 10.54 pagi manakala kerja-kerja pemadaman sepenuhnya masih dijalankan di lokasi kejadian. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN











