Donald buru hatrik Piala Ryder di bumi Ireland

Donald buru hatrik Piala Ryder di bumi Ireland

Ryder cup
KAPTEP Eropah, Luke Donald ketika menjulang Ryder Cup selepas menewaskan AS di Rome pada musim 2023 - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Luke Donald sekali lagi diberi kepercayaan untuk memimpin Eropah apabila dinamakan kapten bagi Piala Ryder 2027, sekali gus membuka peluang mencipta sejarah sebagai kapten pertama meraih tiga kemenangan berturut-turut.

Bekas pemain No.1 dunia  berusia 48 tahun itu bakal membimbing skuad Eropah di Adare Manor, Limerick dari 17 hingga 19 September 2027.

Donald sebelum ini mencipta impak besar apabila membawa Eropah menewaskan Amerika Syarikat di Rom serta mempertahankan kejuaraan di New York tahun lalu. 

Kejayaan berganda itu melonjakkan reputasinya sebagai antara kapten paling berpengaruh dalam sejarah moden kejohanan dwitahunan berprestij tersebut.

“Dua Piala Ryder terakhir amat bermakna buat saya dan keluarga. Saya tidak pernah menjangka peluang kali ketiga ini akan hadir,” kata Donald dalam satu kenyataan.

Katanya, kejayaan meraikan kemenangan di New York selepas minggu yang cukup mencabar membuatkan beliau merasakan tugasnya sudah selesai.

“Namun mungkin masih ada sedikit lagi cerita untuk ditulis. Perjalanan sebagai kapten ini memberi saya fokus dan tujuan yang sangat besar. 

“Ia satu keistimewaan dan saya benar-benar teruja untuk satu lagi Piala Ryder di tempat sendiri,” ujarnya.

Pelantikan kali ini turut membawa makna sentimental buat Donald kerana  Ireland bukan asing baginya selepas pernah beraksi sebagai pemain pada edisi 2006 di The K Club dan memenangi ketiga-tiga perlawanannya di bawah kendalian Ian Woosnam.

Edisi 2027 juga bakal menjadi detik bersejarah apabila Piala Ryder menyambut ulang tahun ke-100, sekali gus menjadikan misi hatrik Donald lebih manis andai berjaya direalisasikan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN