KUALA LUMPUR: Keputusan muktamad mengenai pemilihan beregu ketiga yang akan terbang bersama skuad Piala Thomas ke Horsens, Denmark, April ini hanya akan diputuskan selepas Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China berakhir.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, kedudukan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah pun terjamin selaku beregu No. 1 Malaysia, cuma antara Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani masih belum dapat ditentukan.
“Untuk beregu ketiga, sebenarnya kita boleh katakan antara Wei Chong-Kai Wun atau Sze Fei-Izzuddin, kita kena tengok ranking dulu
“Kalau saya boleh katakan, dua pasangan selepas Aaron-Wooi Yik adalah Wei Chong-Kai Wun dan Sze Fei-Izzuddin, tetapi, kita juga ada beregu muda yang di bawah mereka, kita perlu lihat dulu selepas BAC,” katanya ketika ditemui pemberita di ABM dekat sini, semalam.
BAC 2026 akan berlangsung pada 7-12 April, manakala, Piala Thomas/Uber 2026 pula diadakan pada 24 April-3 Mei ini.
Menurut Rexy, BAC bakal menjadi platform terbaik buat Arif Junaidi-Yap Roy King membuktikan kredibiliti sama ada mereka layak merebut slot beregu ketiga itu.
“Bagaimanapun, buat masa ini, tiga beregu terbaik negara ialah Aaron-Wooi Yik (No. 2), Wei Chong-Kai Wun (No. 6) dan Sze Fei-Izzuddin (No. 7), berdasarkan ranking dunia mereka,” tegasnya.
Mengulas persiapan pasukan ke Piala Thomas/Uber, pengendali kelahiran Indonesia itu menjelaskan, persediaan berjalan seperti biasa, tetapi yang utamanya nanti adalah kem latihan di Denmark.
Katanya, lokasi kem latihan terletak di kampung halaman Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Kenneth Jonassen iaitu di kawasan pendalaman yang jauh daripada hiruk-pikuk kota.
“Menurut Kenneth tempat kem latihan itu memang tak boleh buat apa-apa. Jadi kita harap ia boleh menjadi persiapan terakhir kita untuk fokus, mental dan lebih tenang dalam masa 10 hari itu,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang kelibat Marcus Fernaldi Gideon di ABM, Rexy berkata, bekas beregu No. 1 dunia itu berada di negara ini kerana bercuti bersama keluarga dan dijangka akan pergi ke Genting Highlands, hari ini.
“Kebetulan dia memang tengah bercuti di sini dengan keluarga, dia minta izin kepada saya untuk ikut latihan di sini. Dengan umurnya 35 tahun, dia boleh jadi rakan sepelatih (sparring) yang berkualiti untuk pemain kita, saya harap pemain muda ambil kesempatan belajar daripada Gideon,” katanya.-UTUSAN










