Arteta pelik Arsenal dikritik ‘raja’ bola mati

Arteta pelik Arsenal dikritik ‘raja’ bola mati

Mikel Arteta-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta kecewa apabila pasukannya tidak menjaringkan lebih banyak gol daripada situasi bola mati musim ini meskipun taktik itu menjadi senjata utama mereka.

Kelab London Utara itu menjadi perhatian selepas menjaringkan dua gol menerusi sepakan penjuru ketika menewaskan seteru setempat, Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.

Arsenal kini meledak 16 gol liga daripada situasi bola mati, menyamai rekod terbanyak dalam satu musim EPL, pencapaian yang sebelum ini dilakukan oleh Oldham Athletic A.F.C. (1992-93), West Bromwich Albion F.C. (2016-17) dan Arsenal sendiri pada musim 2023-24.

Namun, di sebalik keberkesanan tersebut, gaya permainan The Gunners menerima kritikan daripada beberapa pengendali lawan yang menyifatkan pendekatan itu kurang menarik untuk ditonton.

Pengurus Liverpool, Arne Slot, mendakwa kecenderungan liga terhadap situasi bola mati menjadikan perlawanan ‘tidak seronok’, manakala bos Brighton, Fabian Hurzeler, mendakwa Arsenal membuang masa ketika mengambil sepakan penjuru.

Arteta bagaimanapun tidak bersetuju dengan tanggapan tersebut dan menegaskan kejayaan dalam bola mati bukan sekadar nasib, sebaliknya hasil perancangan taktikal serta pemahaman mendalam terhadap peraturan semasa.

“Saya tidak tahu bagaimana anda meraikan satu gol berbeza dengan gol yang lain. Mungkin untuk YouTube ada satu gol yang lebih cantik daripada yang lain, saya tidak tahu. Tetapi realiti bola sepak banyak bergantung kepada situasi.

“Saya ingin bermain dengan tiga pemain tambahan di separuh padang saya sendiri untuk mendapatkan permainan bola sepak yang indah dan sentiasa bermain dengan kelebihan pemain bebas. Ini bukan realiti bola sepak.

“Jika anda mahu menonton bola sepak (sebegitu), anda perlu pergi ke negara lain kerana dalam EPL untuk dua atau tiga musim terakhir, keadaannya tidak begitu.

“Ia akan menjadi permainan yang berbeza melainkan kita mengubah peraturan kerana evolusi permainan adalah sedemikian,” kata Arteta.

Menurutnya lagi, evolusi bola sepak moden menyaksikan pasukan semakin tersusun dan ruang semakin sempit, justeru kecekapan dalam situasi bola mati menjadi kelebihan kompetitif yang tidak boleh dipandang remeh.

Dalam suasana persaingan sengit liga, Arteta jelas tidak berhasrat mengubah pendekatan yang terbukti berkesan, sebaliknya mahu anak buahnya terus memanfaatkan setiap peluang, sama ada daripada gerakan terbuka mahupun bola mati, demi memastikan Arsenal mampu menjulang kejuaraan musim ini.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN