Lapan individu terlibat samun usahawan Pakistan ditahan

Lapan individu terlibat samun usahawan Pakistan ditahan

AB. Rahaman Arsad menunjukkan sepucuk pistol tiruan yang dirampas dalam kes samun pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sekumpulan penjenayah yang menyamun seorang ahli perniagaan Pakistan sebanyak RM500,000 di hadapan sebuah bank di Pasir Gudang, di sini minggu lalu hanya sempat membelanjakan kira-kira RM12,000 sebelum kesemuanya ditahan polis dalam tempoh 24 jam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, pihaknya berjaya menahan lapan individu termasuk seorang wanita tempatan berketurunan Pakistan berusia antara 23 hingga 53 tahun.

Katanya, salah seorang daripada suspek mengenali mangsa yang berusia 45 tahun manakala tujuh yang lain merupakan rakan penjenayah.

“Pada 24 Februari lalu, polis terima laporan berlaku kejadian samun di kawasan parkir kenderaan berhampiran sebuah bank di kawasan Pusat Perdagangan Pasir Gudang melibatkan kerugian sebanyak RM500,000.

“Ketika mangsa keluar meninggalkan bank dengan isterinya menuju ke kereta, dia didatangi dua lelaki tidak dikenali yang mengacukan pistol sebelum merampas dua beg berisi wang tunai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahaman, susulan maklumat diperoleh, pihaknya melancarkan operasi di beberapa kawasan sekitar Seri Alam dan Tampoi, di sini dan berjaya menahan kesemua suspek terlibat.

“Dalam operasi tersebut, polis berjaya mendapatkan semula wang tunai sebanyak RM487,350, dua buah kereta serta sepucuk pistol angin yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah samun berkenaan,” katanya.

Menurut beliau lagi, kumpulan penjenayah ini terdiri daripada tiga ahli perniagaan, seorang peniaga makanan, dua mekanik dan dua penganggur dengan salah seorang daripada mereka lumpuh separuh badan.

“Semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 399, Seksyen 412, Seksyen 395 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.

“Kesemuanya ditahan reman dan enam daripada mereka akan didakwa di mahkamah esok, manakala dua lagi akan dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×