Angkat berat konsisten sumbang pingat

Angkat berat konsisten sumbang pingat

AYUB Rahmat bersama Mohamad Aniq Kasdan (kiri) yang layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAN angkat berat melakar sejarah sebagai antara penyumbang pingat yang paling konsisten setiap kali Malaysia beraksi di pentas antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia.

Kecemerlangan itu dijangka berterusan selepas Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) meletakkan sasaran empat pingat emas pada temasya Sukan Komanwel 2026 di Glasgow yang dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos depan.

Keyakinan itu berdasarkan prestasi semasa atlet serta perancangan rapi yang dirangka bersama Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN).

Ikuti temubual eksklusif wartawan Minggu Malaysia, Fadhilul Izmel Ishak bersama Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat untuk menyingkap lebih mendalam tentang cabaran, pencapaian dan kehebatan sukan ini yang terus menjadi kebanggaan negara.

Mingguan: Sukan Malaysia (Sukma) selalu menjadi platform atlet muda untuk menonjol namun apabila beraksi di pentas antarabangsa, mereka seolah-olah kurang menyerlah. Adakah standard atlet kita di pentas antarabangsa masih jauh ketinggalan?

Sukma ini adalah wadah untuk melahirkan pelapis bagi sukan angkat berat Malaysia untuk dibawa ke antarabangsa. Kita telah mempergiatkan sukan bakat dan ia melibatkan sukan angkat berat.

Setahun, kita ada tiga atau empat kali kejohanan bakat dan penglibatan atlet muda dari umur 12 hingga 16 tahun agak ramai malah satu ketika hampir 250 atlet menyertai kejohanan bakat dan mereka inilah yang dinilai oleh negeri-negeri mengikut prestasi mereka untuk dibawa ke Sukma.

Apabila berada di Sukma, setiap atlet yang memperoleh emas akan disaring PABM, panggil mereka yang agak sesuai dan letakkan penanda aras jumlah angkatan yang perlu dilakukan sebab di peringkat kebangsaan kita bukan untuk berlatih tetapi berperang (bertanding).

Kita panggil ramai juga atlet yang berjaya di Sukma, menjadikan pasukan kita agak besar dan mereka menunjukkan prestasi cukup baik di pentas Sukan SEA yang lalu, namun Sukma memang melahirkan (bakat) tetapi kita perlukan atlet yang lebih berkualiti daripada segi angkatan tetapi pada akhirnya mereka inilah yang akan meneruskan legasi, kejayaan atlet negara.

Kita ambil krim (yang terbaik), walaupun jumlahnya akan berkurangan tetapi itulah yang cukup sesuai bertanding di peringkat antarabangsa.

Kita ada atlet wanita dalam sukan angkat berat tetapi mereka seperti kurang menyerlah di pentas antarabangsa. Adakah atlet wanita kita kurang daya saing?

Kita boleh bersetuju dengan kenyataan tersebut dan antara perancangan jangka pendek PABM adalah untuk mengambil jurulatih dari luar khususnya dari Thailand mengikut kepakaran mereka untuk meningkatkan keupayaan atlet. Kita dalam proses pengambilan ini dan harap ini dapat beri sinar kepada atlet wanita negara.

Walaupun kita lihat prestasi mereka agak jauh tetapi di Sukan SEA 2025 mereka memberi cabaran yang hebat kepada atlet lain. Selain itu, kita juga ada perancangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menubuhkan pusat latihan sama ada di Sabah atau Sarawak. Masih dalam perancangan tetapi ia memberi semangat baharu untuk melahirkan atlet wanita baharu yang berketerampilan dan mungkin menyaingi atlet luar.

Bagaimanakah PABM menilai keberkesanan sistem pembangunan bakat sedia ada, khususnya dalam peralihan atlet dari peringkat remaja ke elit berdasarkan kadar kejayaan dan keciciran atlet?

Kita mempunyai kecenderungan atau potensi yang kuat dalam kalangan atlet baharu ini untuk menonjolkan citra mereka dalam sukan ini. Atlet tidak dikurung, bukan sekadar bertanding di peringkat kebangsaan tetapi dihantar menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

Akhirnya, kita mengharapkan kecemerlangan dan kecenderungan mereka untuk menjadi atlet terbaik negara berterusan. Sukma adalah platform terbaik untuk kita menilai selain mendapatkan kemenangan di peringkat negeri tetapi di peringkat negara kita menilai dan mengharapkan ada kejohanan lain yang sama taraf dengan Sukma yang mungkin disertai untuk mereka bawah 25 tahun sebab lepas Sukma kebanyakan atlet yang tidak diambil ke peringkat kebangsaan, mereka agak terbiar dan mungkin dalam tempoh umur 21 hingga 25 tahun mereka baru dapat rentak dan keyakinan untuk teruskan maka kita tak nak atlet yang tak terpilih ke peringkat kebangsaan, bakat mereka terhenti sampai Sukma sahaja.

Walaupun atlet boleh bertanding di kejohanan kebangsaan tetapi sokongan Majlis Sukan Negeri berkurangan sebab sasaran utama mereka adalah Sukma dan apabila tidak diperlukan lagi atlet terumbang ambing. MSN perlu melihat ada satu lagi kejohanan yang setaraf dengan Sukma untuk atlet diuji sekali lagi, adakah atlet ini boleh meneruskan kerjaya mereka sebagai atlet.

Sukan angkat berat sering menjadi penyumbang pingat terutamanya di temasya besar, apakah PABM merasakan segala bantuan dan sokongan yang diterima MSN ketika ini sudah mencukupi?

Saya kena berterus terang mengatakan bahawa MSN banyak bantu kita, tetapi bantu kita daripada segi atlet. Tahun ini kita akan menghadapi Sukan Komanwel dan kita juga ada buat kejohanan di Kuching, peringkat Asia Tenggara dan kita persatuan yang boleh dikatakan marhaen juga, maksudnya presiden kena tanggung semua.

​Jadi, mungkin adakan satu skim khas kepada persatuan yang menyumbang (pingat) agar diberikan satu geran khas, tak perlulah melalui permohonan yang ambil masa dan sebagainya. Kita lihat bahawa di Sukan Komanwel ini ada sepuluh sukan saja, sepuluh persatuan saja yang akan terlibat.

Jika boleh diperuntukkan, boleh diberikan terus geran sebanyak RM200,000 atau RM250,000 agar persatuan ini boleh merancang dan juga memberikan perhatian yang lebih serius untuk memastikan bahawa segala perbelanjaan persatuan dapat ditampung dan sebagainya.

Jadi, untuk tahun ini kita ada sepuluh saja, maka kerajaan perlu melihat, MSN perlu melihat tentang perkara ini. MSN dah bantu kitalah tetapi untuk persatuan itu sendiri kita agak tertinggal sebab kalau persatuan bola sepak dan sebagainya, badminton mereka ada penaja yang kuat.

Setakat ini tak ada orang pun yang tampil untuk membantu kita, mungkin MSN ataupun kerajaan, KBS boleh melantik satu-satu GLC (syarikat berkaitan kerajaan) sebagai korporat angkat kepada kita maka kita dapat berjalan dengan lebih lancarlah, insya-Allah.

Tahun 2026 ini boleh dikatakan tahun yang sibuk untuk semua persatuan sebab adanya penganjuran Sukma, Sukan Asia, Sukan Komanwel jadi, manakah yang akan menjadi keutamaan PABM?

Memang tahun ini tahun yang terlalu sibuk setiap bulan kita ada aktiviti. Tidak kira yang melibatkan kursus untuk meningkatkan keupayaan jurulatih ataupun untuk kursus yang melibatkan teknikal, dan kejohanan bakat, kejohanan kebangsaan, kejohanan yang kita akan buat di peringkat antarabangsa di Kuching, Sukan Asia, Sukma dan Sukan Komanwel.

Kalau kita melihat secara keseluruhannya, kita akan terlibat semua tetapi Sukan Asia kita hantar dua ataupun tiga atlet yang kita merasakan bahawa mereka dalam kelompok elit untuk bersaing. Namun tumpuan kita utama adalah di Sukan Komanwel kerana pertama, kita adalah merupakan sukan di antara kelompok sepuluh yang akan bertanding di temasya tersebut.

Kedua, kita merasakan bahawa ini adalah merupakan peluang terbaik terutamanya kepada sukan angkat berat untuk memberikan pingat emas kepada negara dan kita lihat bahawa kalau sebelum ini kita menyumbang dua pingat emas daripada enam ataupun tujuh pingat emas, maknanya 33 peratus tapi kita yakin bahawa kita mampu untuk memberikan lebih daripada jumlah tersebut di kejohanan yang akan datang.

Itulah sebabnya kita memohon supaya tumpuan itu diberikan kepada kitalah agar matlamat dan juga fokus kita itu akan tercapai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN