PETALING JAYA: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberi jaminan bahawa perkembangan rayuan tujuh pemain warisan Harimau Malaya di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tidak menjejaskan saingan kelayakan Piala Asia 2027.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, pihaknya tidak berdepan sebarang kekangan masa dan situasi semasa masih terkawal sementara menanti keputusan rasmi daripada panel CAS.
Menurut beliau, AFC mengambil pendekatan profesional dengan menunggu keputusan penuh sebelum menentukan sebarang langkah susulan berkaitan isu berkenaan.
“Kita tunggu sehingga keputusan dibuat oleh CAS. Kita ada sedikit masa lagi jadi buat masa sekarang tiada masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan rayuan membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang kini berada pada fasa akhir pertimbangan panel CAS.
Windsor menjelaskan, proses yang melalui CAS memerlukan penelitian terperinci dan masa yang mencukupi, justeru AFC menghormati sepenuhnya prosedur serta garis panduan yang sedang berjalan.
Difahamkan, keputusan rayuan tersebut dijangka diketahui dalam tempoh terdekat selepas panel CAS memerlukan masa tambahan bagi memastikan setiap aspek dinilai secara menyeluruh.
Isu berkenaan menjadi perhatian kerana ia melibatkan status kelayakan tujuh pemain warisan yang berpotensi menambah kekuatan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Sebarang keputusan yang diumumkan CAS kelak, dijangka memberi kejelasan terhadap kedudukan pemain terbabit, sekali gus membantu semua pihak merancang dengan lebih teratur.
AFC menegaskan jadual kelayakan Piala Asia 2027 kekal seperti dirancang tanpa sebarang pindaan buat masa ini.
Sebagai rekod, Malaysia dijadualkan membuat perhitungan terakhir menentang Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia pada 31 Mac ini, dan pertemuan itu menjadi penentu pasukan mana yang akan layak ke Arab Saudi.-UTUSAN










