PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya menerima tamparan hebat apabila dua kemenangan dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 dibatalkan dan keputusan itu digantikan dengan kekalahan 0-3 oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Keputusan berkenaan telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC yang bersidang semalam selepas mendapati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melanggar peraturan dengan menurunkan pemain tidak layak.
Malaysia yang sebelum ini mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac 2025 dan 4-0 ke atas Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025, kini diisytiharkan kalah 0-3 bagi kedua-dua perlawanan berkenaan.
“Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC telah membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada kedua-dua perlawanan tersebut.
“Kesalahan itu diputuskan di bawah Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC, manakala hukuman pembatalan keputusan perlawanan dilaksanakan berdasarkan Artikel 25.1 kod yang sama,” menurut FAM dalam satu kenyataan media, semalam.
Selain pembatalan keputusan, FAM turut dikenakan denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119), sekali gus menambah derita kepada badan induk bola sepak negara itu, yang sebelum ini turut dihukum Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebanyak CHF 350,000 (RM1.8 juta).
Keputusan tersebut jelas, memberi impak besar kepada kedudukan Malaysia dalam kempen kelayakan, sekali gus peluang skuad kebangsaan untuk bermain di pentas Piala Asia 2027 yang menyediakan slot kepada juara kumpulan sahaja tertutup rapat.
Berdasarkan hukuman itu, Malaysia yang sebelum ini berada di kedudukan teratas Kumpulan F dengan mengumpul 15 mata, kini jatuh ke tangga kedua untuk mengutip sembilan mata manakala Vietnam naik ke kedudukan teratas (15 mata).
Bagaimanapun, FAM tidak akan berdiam diri apabila mengesahkan akan mengemukakan permohonan rasmi bagi mendapatkan alasan penuh keputusan daripada AFC sebelum merancanakan langkah seterusnya.
Kemungkinan besar, FAM akan membuat rayuan, namun segala tindakan lanjut bergantung kepada penjelasan terperinci yang bakal diterima daripada badan induk bola sepak Asia itu dalam masa terdekat.-UTUSAN
Habis
KAPSYEN: Keputusan menurunkan pemain ‘tidak layak’ ketika berdepan Nepal dan Vietnam perlu dibayar harga mahal oleh skuad kebangsaan.










