KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan(KBS) tidak akan melakukan sebarang rombakan dalam program Road To Gold (RTG) bagi memastikan sasaran memburu emas pertama negara di pentas Olimpik kekal menjadi agenda utama.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, segala aktiviti program, berkenaan akan berjalan mengikut penjadualan asal yang telah dirancang sebelum ini.
“Setakat ini tidak ada perubahan. Kita akan terus bekerja rapat untuk memastikan RTG berjalan lancar dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
“Kalau ada perubahan dari semasa ke semasa, saya akan buat pengumuman,” katanya selepas Majlis Pelancaran My Athlete Center serta penandatanganan Memorandum Persefahaman bersama MACE Partners di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Taufiq juga memaklumkan beliau akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi memastikan hala tuju 12 atlet RTG lebih jelas dan memberi manfaat maksimum kepada atlet negara.
“Satu mesyuarat bersama jawatankuasa RTG akan diadakan dalam masa terdekat untuk memperincikan hala tuju dan perancangan program,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM12 juta bagi pelaksanaan RTG untuk tahun 2026 sebagai sebahagian usaha memburu pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Dalam perkembangan lain, Taufiq turut menyempurnakan perasmian My Athlete Centre yang bakal menjadi pusat tumpuan kesejahteraan serta kebajikan atlet.
Fasiliti bernilai RM500,000 itu dibangunkan sebagai ruang santai berkonsep moden, khusus bagi membantu atlet melepaskan tekanan selepas menjalani latihan berintensiti tinggi.
Katanya, My Athlete Centre diwujudkan sebagai lokasi untuk atlet berehat, berinteraksi dan memulihkan tenaga sebaik tamat sesi latihan.-UTUSAN










