LONDON: Penyerang Sweden, Viktor Gyokeres menyifatkan kemenangan besar Arsenal ke atas Tottenham sebagai respons terbaik terhadap kritikan yang dilemparkan selepas mereka tercicir mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Gyokeres meledak dua gol bersama Eberechi Eze ketika membenam musuh tradisi 4-1 di Stadium Tottenham Hotspur, Ahad lalu.
Kemenangan bergaya itu hadir hanya empat hari selepas The Gunners diikat 2-2 oleh Wolverhampton Wanderers, keputusan yang menimbulkan persoalan mengenai ketahanan mental mereka dalam perebutan gelaran.
Bagaimanapun, kejayaan menundukkan seteru London itu menyaksikan Arsenal kini selesa menerajui carta liga dengan kelebihan lima mata mengatasi Manchester City.
Gyokeres yang sudah mengumpul 10 gol liga musim ini mengakui keputusan hambar sebelum ini memberi tekanan kepada pasukan, namun dia bangga dengan reaksi dipamerkan rakan sepasukan.
“Sudah tentu sukar apabila kita mendapat keputusan seperti di Wolves. Namun, yang penting ialah bagaimana kita menghadapinya dan bangkit semula. Hari ini (Ahad lalu) kami membuktikannya.
“Mendapat keputusan serta persembahan seperti ini adalah cara paling sempurna untuk menjawab segala kritikan,” katanya.
Menurutnya lagi, perjalanan liga masih panjang namun jika momentum konsisten dapat dikekalkan, peluang untuk menjulang trofi amat cerah. – AFP










