PETALING JAYA: Menajamkan jentera serangan menjadi agenda utama yang perlu diberikan perhatian oleh Speedy Tigers menjelang aksi pembukaan Kelayakan Hoki Piala Dunia, Ahad ini.
Dalam masa yang sama, bekas kapten hoki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi juga mahu skuad kendalian Sarjit Singh memperkemaskan jentera pertahanan bagi mengelak dibolosi.
Menurut Mirnawan, keputusan aksi persahabatan bukan keutamaan kerana prestasi skuad negara masih boleh diperbaiki termasuk pukulan sudut penalti, serangan dan bertahan.
“Bagi saya, kalau hendak diperbaiki sebelum aksi pembukaan, semua bahagian perlu diberi perhatian oleh pasukan. Pukulan sudut penalti, serangan dan juga pertahanan.
“Ini fasa terakhir persiapan. Jadi pemain perlu cepat menyesuaikan diri dengan corak taktikal yang dibawa jurulatih teknikal baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Skuad negara akan berdepan Austria dalam aksi pembukaan pada Ahad ini dan skuad kendalian Sarjit berlepas awal ke Mesir bagi persiapan dan aksi persahabatan.
Mirnawan menyifatkan langkah berada di Mesir lebih awal sebagai perancangan yang tepat bagi memastikan pemain benar-benar bersedia sebelum aksi sebenar bermula.
“Perlawanan persahabatan ini bagus untuk proses penyesuaian suhu, makanan dan suasana. Keputusan itu penting, tetapi bukan objektif utama. Yang penting pemain bersedia,” ujarnya.
Mengulas aksi pertama menentang Austria dalam Kumpulan B yang turut dibarisi Pakistan dan China, beliau menyifatkan aksi pembukaan itu sebagai penentu hala tuju kempen negara.
“Bagi saya, perlawanan pertama dengan Austria paling penting. Tiga mata itu akan beri keyakinan untuk hadapi Pakistan dan China.
“Kita jangan fikir Pakistan dulu. Fokus dapatkan tiga mata pertama. Perjalanan ke separuh akhir banyak ditentukan oleh keputusan perlawanan pembukaan,” tegasnya.
Tambahnya, aspek ketajaman pemain juga perlu dipertingkat dalam tempoh akhir latihan, namun pada masa sama barisan negara perlu mengelak kecederaan saat-saat akhir.
“Kita tidak mahu ada pemain cedera sebelum kejohanan bermula. Itu paling penting,” katanya.
Skuad negara menyasarkan untuk layak ke final kelayakan bagi merebut tiket automatik ke pentas Piala Dunia.-UTUSAN










