PETALING JAYA: Ketua jurulatih ragbi 15 sebelah (15s) wanita negara, Raimi Md Yusof mengakui boleh menarik nafas lega berikutan kejayaan pemainnya muncul juara edisi pertama Kejohanan Persekutuan Ragbi Asia Tenggara (SEARF) 15s Wanita, hari ini.
Skuad negara melakar kemenangan besar apabila membelasah Filipina 78 tanpa balas dalam aksi yang berlangsung di Padang Astaka, Petaling Jaya.
Kemenangan besar amat ditagih oleh skuad negara dalam kejohanan yang menggunakan format round robin itu susulan kejayaan Singapura menewaskan Filipina 51-0, Rabu lalu.
Raimi berkata, kemenangan besar Singapura itu menyebabkan pemainnya berada di bawah tekanan bagi menghadapi Filipina.
“Alhamdulillah, syukur kemenangan yang tidak dijangka. Sebelum perlawanan ini, sememangnya kami berada dalam tekanan sebab kami perlu menang 51 mata.
“Saya pesan kepada anak-anak buah agar fokus untuk dapatkan kemenangan dan proses kemenangan itu kan hadir,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Raimi turut memuji aksi pemainnya apabila menterjemahkan strategi pasukan dalam aksi tersebut.
“Persembahan menarik daripada pemain. Mereka bertahan dengan baik malah mereka banyak ambil kesempatan daripada kesilapan lawan.
“Saya amat berbangga dengan pemain. Saya tahu apa pengorbanan yang telah mereka lakukan,” katanya.
Pada aksi pertama kejohanan, Malaysia mencatat keputusan 15-15 ketika menentang Singapura pada Sabtu lalu. – UTUSAN










