DALLAS: Pemain tenis Amerika Syarikat (AS), Ben Shelton menjuarai Terbuka Dallas selepas bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan rakan senegara, Taylor Fritz 3-6, 6-3, 7-5 di pentas final, semalam.
Kemenangan itu menyaksikan Shelton merangkul gelaran keempat kariernya di pentas Jelajah ATP.
Pemain kidal berusia 23 tahun itu mempamerkan ketenangan apabila menyelamatkan tiga mata kejuaraan dalam set penentuan sebelum membalas servis Fritz untuk mengesahkan kemenangan.
“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Taylor (Fritz), ini perlawanan yang gila untuk menjadi sebahagian daripadanya.
“Apa yang anda lakukan tahun ini sangat menakjubkan, berdepan kesukaran, melawan kecederaan. Anda adalah satu inspirasi,” kata Shelton.
Fritz yang memburu gelaran ke-11 ATP memulakan aksi dengan cukup garang apabila mendominasi set pertama menerusi servis hampir sempurna, meledak 11 pukulan kemenangan dan menamatkan set pembukaan dalam tempoh hanya 26 minit.
Shelton bagaimanapun bangkit dalam set kedua dengan memperkemaskan servisnya, menghasilkan 10 ace selain memenangi beberapa rali panjang untuk mengubah momentum sebelum membalas servis lawan bagi mengikat kedudukan.
Dalam set penentuan, Fritz dilihat hampir menjulang trofi apabila mendahului 5-4 dan memiliki tiga mata kejuaraan, namun Shelton mempamerkan keberanian luar biasa untuk menyelamatkan keadaan dan kembali menyamakan kedudukan 5-5.
Kebangkitan itu menyuntik semangat buat Shelton yang kemudian membalas servis Fritz sebelum menamatkan perlawanan dengan bergaya, sekali gus menebus kekecewaan selepas tersingkir di suku akhir Terbuka Australia bulan lalu. – AGENSI










