LONDON: Pengurus Chelsea, Liam Rosenior menyifatkan kebangkitan dramatik pasukannya yang ketinggalan dua gol untuk menewaskan West Ham 3-2, semalam adalah bukti The Blues memiliki semangat uang yang istimewa.
Dalam aksi berkenaan, Chelsea ketinggalan dua gol pada babak pertama hasil jaringan Jarrod Bowen dan Crysencio Summerville di Stamford Bridge.
Namun, Chelsea tidak mengendahkan ejekan penyokong sendiri ketika rehat separuh masa, sebelum mempamerkan kebangkitan luar biasa pada babak kedua.
Joao Pedro merapatkan jurang sebelum Marc Cucurella menanduk masuk gol penyamaan sebelum meraih gol kemenangan menerusi jaringan kapten pasukan, Enzo Fernandez pada masa kecederaan.
“Pengajaran terbesar buat saya ialah wujudnya semangat, daya juang dan ketahanan mental dalam pasukan ini yang saya sangat suka.
“Kami tidak mempunyai banyak sesi latihan, tetapi kami berbincang mengenai bagaimana untuk memberi reaksi positif ketika hadapi kesukaran. Semua itu jelas ditunjukkan pada babak kedua, yang langsung tidak kelihatan pada separuh masa pertama.
“Kami mengharungi banyak perlawanan dalam tempoh singkat. Saya bimbang mengenai tahap tenaga, bukan dari segi usaha, tetapi keputusan kami sangat lemah pada babak pertama. Bila perlu simpan bola, bila perlu menekan, kami terlalu lambat bertindak.
“West Ham jelas pasukan yang lebih baik pada babak pertama. Namun reaksi kami selepas rehat membuktikan pasukan ini memiliki sesuatu yang benar-benar istimewa jika saya dapat menggunakan skuad dengan cara yang betul,” kata Rosenior.
Kemenangan itu menyaksikan Chelsea melonjak ke tangga keempat liga, manakala Rosenior menjadi pengurus Inggeris keempat memenangi tiga perlawanan awal EPL selepas Bobby Gould, Sam Allardyce dan Craig Shakespeare.
Rosenior kini merekodkan enam kemenangan daripada tujuh perlawanan dalam semua kejohanan sejak mengambil alih pasukan daripada Enzo Maresca selepas meninggalkan Strasbourg.- AGENSI










