Rekod FIFA adalah kes lama- MFL

Rekod FIFA adalah kes lama- MFL

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Mohd. Shazli Shaik Mohd.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026 bersih daripada isu gaji dan rekod yang dikemukakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah kes lama.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd menjelaskan bahawa rekod FIFA itu adalah kes lama dan bukan berpunca daripada pengurusan musim semasa.

Menurut beliau, pelaksanaan peraturan ‘Financial Fair Play’ (FFP) yang dikuatkuasakan musim ini telah membawa perubahan besar dalam aspek tadbir urus kewangan kelab, sekali gus meletakkan pasukan di landasan lebih stabil.

“Semua ini kes-kes lama. Tahun ini kelab berada dalam landasan sebenarnya dan lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini selepas peraturan Financial Fair Play (FFP) yang dikuatkuasakan pada musim ini, banyak perubahan tadbir urus berlaku,” katanya.

Sebagai contoh, Kelantan The Real Warriors (TRW) yang sebelum ini dibelenggu hutang lama kini dilaporkan berjaya menyelesaikan komitmen tersebut dengan pembayaran gaji bulanan berada dalam keadaan terkawal.

Situasi sama turut melibatkan PDRM FC yang mengalami isu gaji di awal musim, namun kini kembali stabil.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan isu membabitkan Terengganu FC (TFC) dan Kuala Lumpur City FC juga adalah kes terdahulu yang sedang melalui proses penyelesaian mengikut saluran ditetapkan.

Sebelum ini, MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disarankan mengambil langkah segera bagi memastikan reputasi Liga Malaysia terus terpelihara selepas lapan pasukan tempatan tersenarai dalam sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Pekan Ramli, melihat perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan berada dalam rekod FIFA dan ia sepatutnya wajib dipadamkan.

Jelasnya, meskipun daripada lapan pasukan tersenarai dalam rekod FIFA, ada antaranya sudah tidak beraksi dalam saingan Liga Malaysia namun FAM dan MFL perlu bertindak bagi membersihkan rekod buruk itu daripada terus berada dalam senarai badan induk bola sepak dunia itu.

Antara pasukan yang tersenarai termasuk Perlis FA yang dikenakan sekatan sejak 2020, selain Kelantan FC, PT Athletic FC, Gombak FA, Kedah Darul Aman FC, Perak FC, Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC.

Sebagai rekod, MFL pernah mendenda sebanyak RM70,000 terhadap PDRM FC dan Kelantan TRW susulan isu tunggakan gaji pada tahun lalu, menunjukkan bahawa pengelola liga bola tempatan itu sentiasa memantau dan memandang serius isu tunggakan gaji.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN