CLUJ-NAPOCA: Emma Raducanu menepati ramalan melangkah ke separuh akhir Terbuka Transylvania selepas menewaskan Maja Chwalinska dari Poland 6-0, 6-4 dalam aksi suku akhir di Romania, semalam.
Pemain pilihan utama dari Great Britain itu hampir tidak dicabar pada set pertama apabila hanya kehilangan satu mata servis, sebelum mengekalkan ketenangan untuk menamatkan perlawanan dalam dua set.
Dalam aksi separuh akhir, Raducanu dijadual berdepan wakil Ukraine, Oleksandra Oliynykova, yang mengejutkan pilihan keempat dari China, Xinyu Wang, dengan kemenangan straight set 6-4, 6-4.
Mengenai pertembungan separuh akhir menentang Olynikova, Raducanu berkata beliau pernah melihat sedikit corak permainan lawannya itu sebelum perlawanan tersebut.
“Saya tidak mempunyai banyak masa malam tadi untuk membuat persediaan bagi perlawanan ini. Saya sangat memberi tumpuan kepada proses pemulihan.
“Tidak kira berapa lama setiap perlawanan berlangsung, ia sangat memenatkan, jadi saya perlu pulih dengan baik,” tambahnya.
Dalam satu lagi aksi suku akhir, pilihan ketiga dari Romania, Sorana Cirstea, mempamerkan ketahanan mental tinggi apabila menewaskan Anastasia Potapova 6-4, 6-4 selepas menyelamatkan lima daripada tujuh mata break.
Cirstea bakal berdepan seorang lagi pemain Ukraine, Daria Snigur, yang bangkit menyingkirkan Yue Yuan dari China 4-6, 6-0, 7-5 untuk melengkapkan senarai separuh akhir kejohanan tersebut.
Sementara itu, di Terbuka Abu Dhabi, pemain Amerika Syarikat, Hailey Baptiste mencuri tumpuan apabila menyingkirkan pilihan kelima dari Rusia, Liudmila Samsonova, 6-2, 4-6, 6-4 untuk menempah slot separuh akhir menentang Ekaterina Alexandrova.- AGENSI










