Qabil cemerlang sesi ujian Moto4 Piala Asia

Qabil cemerlang sesi ujian Moto4 Piala Asia

Zulfahmi (kanan) mengharapkan Qabil mampu mencatat keputusan podium pada pusingan pertama perlumbaan Moto4 Piala Asia di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand 27 dan 28 Februari ini. - Ihsan SIC Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Qabil Irfan Azlan mencatat masa terpantas dalam sesi ujian menjelang pembukaan musim perlumbaan motosikal, Idemitsu Moto4 Piala Asia di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand, hujung bulan ini.

Pelumba berusia 14 tahun itu tidak mengambil masa lama menyesuaikan diri dengan jentera Moto4 dalam sesi ujian rasmi yang dilaksanakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selama tiga hari yang berakhir, kelmarin.

Walaupun berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan catatan masa 2 minit 16.849 saat (s), tetapi, untuk sepanjang 10 sesi ujian yang dilaksanakan, Qabil mengungguli lapan sesi tersebut dengan prestasi konsisten.

Hanya pelumba Jepun, Kotaro Togashi yang berpotensi menggugat Qabil setelah dia mencipta masa sepusingan 2:16.698s dan hanya dipisahkan 0.151s berbanding pelumba berbakat besar dari Malaysia itu.

Qabil berkata, dia akan cuba melakukan yang terbaik menjelang pusingan pertama Moto4 Piala Asia yang dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Februari bersempena perlumbaan pembukaan musim MotoGP di Grand Prix (GP) Thailand.

“Masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki, terutamanya dalam keadaan cuaca yang agak panas dan saya perlu lebih bijak menguruskan penggunaan tayar pada waktu yang tepat,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, sesi ujian rasmi Moto4 Piala Asia berjalan lancar dengan ketiga-tiga pelumba negara menunjukkan prestasi kompetitif.

“Secara jujurnya, saya menantikan perlumbaan pusingan pertama di Thailand dan berharap semua pelumba mampu bersaing dalam kelompok hadapan serta membawa pulang podium bagi musim 2026,” katanya.

Selain Qabil, dua lagi pelumba muda Malaysia, Muhammad Naqib Rifqi Zulhelmi berada di kedudukan keenam keseluruhan (2:117.662s), manakala, Qayyim Razin Razali di tempat kesembilan (2:17.939s).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN