STRASBOURG: Gol lewat permainan oleh Nuno Mendes memastikan Paris Saint-Germain (PSG) meraih kemenangan dramatik 2-1 ke atas Strasbourg meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain, sekali gus merampas kembali kedudukan teratas Ligue 1, semalam.
Perlawanan yang berlangsung sengit di Alsace itu menyaksikan penjaga gol PSG, Matfei Safonov muncul wira apabila menyelamatkan sepakan penalti Joaquin Panichelli, sebelum Senny Mayulu meletakkan pasukan pelawat di hadapan.
Bagaimanapun, Guela Doue menyamakan kedudukan untuk Strasbourg sebelum setengah jam permainan berlangsung.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga babak kedua sebelum Mendes muncul wira apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-81.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Luis Enrique mendahului liga dengan kelebihan dua mata berbanding Lens yang menewaskan Le Havre 1-0, Jumaat lalu.
“Kami bernasib baik untuk menang dalam perlawanan yang sukar ini. Ia bukan persembahan terbaik kami, namun kemenangan ini amat penting,” kata bos PSG, Luis Enrique.
Strasbourg pula mencatat kekalahan pertama dalam empat perlawanan di bawah kendalian jurulatih baharu dari England, Gary O’Neil, namun kekal di tangga ketujuh liga, hanya dua mata di belakang Lille di kedudukan kelima.
Sementara itu, Lyon meneruskan rentak cemerlang mereka dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Lille untuk mencatat kemenangan ke-10 berturut-turut dalam semua pertandingan.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain tengah Denmark, Noah Nartey lewat separuh masa pertama.
Keputusan tersebut mengukuhkan kedudukan Lyon di tempat keempat Ligue 1 dan mencerahkan peluang mereka untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Dalam perlawanan lain, Nice bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 dengan Brest, Toulouse terikat tanpa jaringan menentang Auxerre, manakala Angers menewaskan pasukan tercorot, Metz, 1-0.
Monaco muncul pasukan paling menyerlah hujung minggu lalu selepas membelasah Rennes 4-0. – AFP










