KUALA LUMPUR: Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berharap Muhammad Aznil Bidin disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG) bagi memperkukuh peluang emas negara di pentas antarabangsa.
Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, cadangan berkenaan telah dibawa dalam mesyuarat dalaman persatuan dan turut dimaklumkan kepada pihak RTG untuk pertimbangan lanjut.
“Kita mencadangkan supaya Aznil dimasukkan dalam pasukan RTG. Keputusan muktamad akan ditentukan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan minggu depan,” katanya.
Ayub berkata, ketika ini skuad RTG sudah mempunyai Mohamad Aniq Kasdan, namun PABM melihat keperluan menambah Aznil berdasarkan prestasi semasa yang konsisten serta potensinya menghadiahkan pingat di temasya besar.
Dalam perkembangan sama, PABM meletakkan sasaran berani memburu empat pingat emas pada Sukan Komanwel di Glasgow, Julai ini satu misi yang berpotensi mencipta sejarah baharu buat angkat berat negara.
Ayub menegaskan, sasaran tersebut bukan retorik, sebaliknya dibuat berdasarkan analisis prestasi atlet dan penilaian kekuatan pencabar utama.
“Edisi lalu kita raih dua emas dan satu perak. Secara logiknya kita boleh sasar tiga emas, tetapi kali ini kita bentangkan sasaran sekurang-kurangnya empat emas.
“Kalau berjaya, itu akan jadi pencapaian terbaik angkat berat Malaysia di Komanwel,” katanya.
Keyakinan itu disandarkan kepada prestasi memberangsangkan barisan atlet utama seperti Aniq, Aznil, Muhammad Erry Hidayat dan Mohamad Syahmi Ghazali yang kini berada pada tahap kemuncak.
Malah, skuad negara dijangka tampil lebih matang hasil pendedahan berterusan di kejohanan antarabangsa serta program latihan berfasa yang lebih tersusun.
Tegas Ayub, andai sasaran empat emas direalisasikan, ia bukan sahaja memenuhi aspirasi negara, malah mengangkat angkat berat sebagai antara lubuk emas utama Malaysia di pentas Komanwel.-UTUSAN










