RIO DE JANEIRO: Masa depan bintang Brazil, Neymar kembali menjadi tanda tanya apabila pemain itu mengakui kemungkinan menggantung but lebih awal jika terus dihimpit kecederaan.
Penyerang berusia 34 tahun itu kini mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap kerjayanya dan tidak lagi berani membuat perancangan yang terlalu jauh.
“Saya sendiri tidak tahu apa akan berlaku selepas ini, malah untuk tahun depan pun saya belum pasti. Mungkin apabila Disember tiba, saya akan fikir soal persaraan.
“Buat masa sekarang, saya jalani kehidupan tahun demi tahun,” katanya kepada saluran dalam talian Brazil, Caze.
Bekas tonggak Barcelona dan Paris Saint-Germain itu kembali menyarung jersi kelab lamanya, Santos FC pada Januari 2025 selepas meninggalkan Al-Hilal.
Kepulangannya disambut penuh emosi oleh penyokong, namun musim pertamanya sekali lagi terencat akibat kecederaan.
Walaupun sempat melanjutkan kontrak sehingga penghujung 2026, Neymar terlepas aksi awal musim domestik Brazil selepas menjalani pembedahan lutut pada akhir Disember lalu.
Dia hanya kembali beraksi sebagai pemain gantian dalam Kejuaraan Sao Paulo pada 16 Februari, 11 hari selepas menyambut ulang tahun kelahiran ke-34.
Menurutnya, proses pemulihan memerlukan kesabaran tinggi dan dia tidak mahu lagi terburu-buru.
“Saya mahu bantu pasukan sebaik mungkin, tetapi kali ini saya perlu perlahankan rentak supaya dapat kembali ke tahap 100 peratus,” ujarnya.
Sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol, dua melebihi legenda Pele, Neymar sedar masih ada impian besar yang belum tertunai.
Dia tidak lagi mewakili skuad kebangsaan sejak Oktober 2023 selepas mengalami kecederaan lutut serius ketika menentang Uruguay.
Malah, sejak Carlo Ancelotti mengambil alih pasukan pada Mei lalu, namanya belum tersenarai dalam panggilan skuad namun Neymar tidak menutup harapan untuk kembali.- AGENSI










