LEVERKUSEN: Jaringan Martin Terrier, Patrik Schick dan Jonas Hofmann memastikan Bayer Leverkusen melangkah ke separuh akhir Piala Jerman selepas menewaskan St Pauli 3-0 di laman sendiri,semalam.
Walaupun mempamerkan aksi kurang kemas, Leverkusen jelas terlalu ampuh buat St Pauli yang terus bergelut dalam saingan Bundesliga apabila kini hanya mencatat satu kemenangan daripada sembilan perlawanan terakhir dan menghuni tangga kedua tercorot liga.
Kejayaan itu menyaksikan Leverkusen, juara Piala Jerman dua kali mara ke separuh akhir buat musim ketiga berturut-turut.
Kapten Leverkusen, Robert Andrich mengakui pasukannya tidak berada pada tahap terbaik namun tetap berpuas hati dengan keputusan perlawanan.
“St Pauli tidak mempunyai kualiti untuk benar-benar membahayakan kami, dan kami sendiri tidak bermain dengan baik.
“Namun, ini adalah pertandingan piala. Apa yang penting ialah kemenangan. Kami hanya selangkah lagi untuk kembali ke Berlin,” katanya. – AFP










