PETALING JAYA: Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak tidak mahu anak buahnya berada dalam kedudukan selesa biarpun memiliki kelebihan ke atas DPMM FC dalam aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia di Stadium Kuching, malam ini.
The Cats sebelah kaki untuk melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia apabila menang 3-1 dalam aksi pertama suku akhir, namun Aidil Sharin tidak melihat keputusan itu sebagai kelebihan besar buat pasukan.
Dalam masa yang sama, Aidil Sharin memberi peringatan agar anak buahnya berusaha untuk merebut tempat dalam pasukan khususnya selepas kehadiran pemain warisan Harimau Malaya, Gabriel Palmero.
“Tiada tempat untuk berasa selesa, mereka perlu berusaha merebut tempat,” kata pengendali kelahiran Singapura itu.
Ujarnya, kehadiran Palmero bakal memberi pilihan tambahan buatnya dan mampu menghadirkan persaingan sihat dalam pasukan untuk pemain terus berusaha merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Ini ialah strategi dan pelan saya juga sebab saya tidak mahu pemain lain terus rasa selesa sebab di sini segalanya adalah tentang kerja keras untuk mereka berusaha merebut tempat.
“Tapi saya gembira sebab setakat ini semua pemain saya memang tidak pernah pun rasa cepat selesa dan mereka tahu peranan masing-masing.
“Ditambah pula, saya dapat tengok Palmero bukan sahaja boleh main di bek kiri, sebab saya ada cuba letak dia di bek kanan, dan dia nampak selesa juga di posisi itu, jadi ini adalah petanda yang baik untuk pasukan”, katanya.
Kuching City FC kini hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke separuh akhir dan akan menunggu lawan sama ada Selangor FC atau Negeri Sembilan FC di peringkat empat terbaik nanti.
Dengan kelebihan dua gol dalam tangan serta sokongan padu yang bakal diterima, anak didik Aidil dilihat tidak menghadapi masalah melepasi halangan suku akhir itu malam ini.-UTUSAN










