Kuching City catat sejarah, Aidil mula rancang strategi

Kuching City catat sejarah, Aidil mula rancang strategi

GABRIEL Palmero (tengah) membuka akaun jaringan dalam aksi sulung bersama Kuching City, kelmarin.-IHSAN KUCHING CITY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak enggan dibuai kejayaan selepas melakar sejarah baharu buat kelab itu, apabila mara ke separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama.

Walaupun The Cats kini berada dalam kelompok empat terbaik, Aidil menegaskan pendekatan fokus satu perlawanan demi satu perlawanan kekal menjadi pegangan utama pasukannya menjelang pertemuan getir menentang Selangor FC (SFC) nanti.

Menurutnya, Selangor bukan lawan biasa, apatah lagi dengan reputasi Gergasi Merah yang cukup garang terutamanya apabila beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Kami sedang mencipta sejarah baharu dengan mara ke separuh akhir Piala Malaysia, sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini oleh Kuching tetapi kami perlu ambil satu perlawanan pada satu masa.

“Kami tahu Selangor adalah pasukan besar. Bukan mudah, terutama jika bermain di Stadium MBPJ. Hari ini (kelmarin) pun kami dengar mereka menang 5-1 ke atas Negeri Sembilan, jadi ini satu lagi cabaran besar untuk kami,” katanya.

Tambah Aidil, barisan kejurulatihan akan melakukan analisis menyeluruh bagi merangka pelan terbaik untuk mengekang kekuatan Selangor yang dilihat berada pada prestasi terbaik.

“Kami perlu analisis banyak perkara untuk tentukan bagaimana mahu bermain menentang Selangor,” ujarnya.

Kuching City mengesahkan tiket separuh akhir selepas menewaskan DPMM FC 3-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Kemenangan itu melengkapkan agregat 6-2 hasil kelebihan dua gol yang diraih pada perlawanan pertama di Bandar Seri Begawan.

Sementara itu, ketua jurulatih DPMM FC, James McAllister mengakui pasukannya gagal mempamerkan aksi sebenar terutama pada babak pertama sehingga membenarkan tuan rumah menguasai tempo permainan.

“Saya rasa pada separuh masa pertama kami tidak bermain sebaik yang sepatutnya ketika menguasai bola. Kuching City mengawal permainan dan mempamerkan corak yang baik, kami juga melepaskan dua gol yang agak mudah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN