Jojo mahu fokus Ramadan dan umrah

Jojo mahu fokus Ramadan dan umrah

AKSI jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (kanan) ketika berdepan petarung Myanmar, Ye Yint Naung dalam kejohanan ONE Friday Fights 141 di Stadium Lumpinee di Bangkok, Thailand, kelmarin.-IHSAN ONE CHAMPIONSHIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar memilih untuk tidak tergesa-gesa meneruskan momentum kemenangan apabila memilih untuk berehat seketika daripada saingan ONE Championship.

Petarung berusia 19 tahun yang lebih dikenali sebagai Jojo itu, menjelaskan, keputusan berkenaan dibuat bagi memberi tumpuan penuh menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan selain menunaikan umrah sebelum kembali ke gelanggang dengan persiapan lebih rapi.

Menurut Johan, sebarang perancangan berkaitan pertarungan seterusnya hanya akan difikirkan selepas tamat Ramadan, namun menegaskan tahap kesediaannya tidak pernah luntur untuk berdepan mana-mana pencabar sebaik kembali menjalani latihan sepenuhnya.

“Fokus Jojo sekarang adalah Ramadan. Jojo nak tunaikan umrah sekejap. Selepas itu sambung semula latihan dan Insya-Allah mungkin boleh bertarung di Jepun atau di mana-mana.

“Jojo sedia berlawan dengan sesiapa sahaja pada bila-bila masa,” kata Johan pada sidang media, semalam.

Kelmarin, Johan meneruskan momentum cemerlang apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam tempoh lima bulan selepas menewaskan petarung Myanmar, Ye Yint Naung, menerusi keputusan sebulat suara pada kejohanan ONE Friday Fights 141 di Stadium Lumpinee, Bangkok.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Jojo mendedahkan persiapan rapi telah dilakukan sejak hujung tahun lalu khusus bagi menghadapi lawan kidal seperti Yint Naung, yang disifatkannya memiliki kelebihan tersendiri di dalam gelanggang.

“Memang kami berlatih untuk menghadapi lawan kidal sejak November lagi. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Sudah tentu ada kelemahan yang perlu diperbaiki, tetapi Alhamdulillah prestasi semakin baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Johan turut mengakui berdepan petarung kidal bukan tugas mudah kerana mereka lebih biasa menentang lawan bukan kidal, sekali gus menjadikan ancaman lebih berbahaya terutama daripada bahagian kiri.

“Lawan dengan petarung kidal memang sukar kerana mereka lebih biasa menentang lawan bukan kidal. Bahaya utama datang daripada bahagian kiri, termasuk tumbukan kiri dan hook kanan. Memang ada kesukarannya,” tambahnya.

Turut mencuti tumpuan dalama ksi di Bangkok kelmarin ialah, Adam Rakib yang mencatat kemenangan KO pada pusingan kedua ke atas petarung Maghribi, Walid Snoussi.

Kemenangan itu juga menyaksikan adik kepada Ahmad Nor Iman Aliff Rakib itu berjaya meraih bonus prestasi pertamanya sebanyak 350,000 baht (RM43,600).-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN