JDT tumpas 1-2 kepada Sanfrecce Hiroshima

JDT tumpas 1-2 kepada Sanfrecce Hiroshima

PENYERANG JDT, Joao Figueiredo dikawal dua pemain Sanfrecce Hiroshima dalam aksi ACLE.- IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengutip tiga mata musnah selepas tumpas 1-2 kepada kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima di Stadium Bolasepak Hiroshima, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Xisco Munoz berada dalam situasi sukar untuk merebut slot ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada musim ini.

Dalam aksi berkenaan, Harimau Selatan yang menghuni tangga keenam Zon Timur bermula positif apabila Marcos Guilherme meledak gol pembukaan Harimau Selatan seawal minit ketiga perlawanan.

Bagaimanapun, malang menimpa skuad kendalian Xisco Munoz apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Jonathan Silva dilayangkan kad merah pada minit ke-16.

Pertahanan Harimau Selatan itu dilayangkan kad merah selepas dikesan menggunakan tangan ketika menghalang bola yang menuju ke gawang pasukannya.

Tindakan pemain berusia 31 tahun itu turut menyaksikan pengadil memberi sepakan penalti kepada Sanfrecce Hiroshima dan peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Akito Suzuki untuk menyamakan kedudukan buat tuan rumah.

Beraksi kurang seorang pemain jelas menyukarkan JDT dengan barisan pertahanan mereka terpaksa bekerja keras untuk mengekang asakan bertali arus yang dilancarkan Sanfrecce Hiroshima.

Hanya dua minit selepas bersambung babak kedua, Suzuki berjaya meledak gol kedua apabila menyempurnakan hantaran Naoki Maeda, sekali gus menyaksikan tuan rumah mengutip tiga mata.

Dengan kemenangan tu, Sanfrecce Hiroshima naik ke tangga kedua dengan mengumpul 14 mata, manakala JDT pula mengumpul lapan mata daripada tujuh perlawanan.

Dalam aksi terakhir kumpulan, JDT bakal berdepan tugas sukar apabila berdepan satu lagi kelab Jepun yang juga pendahulu Zon Timur, Vissel Kobe di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Februari ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN