PETALING JAYA: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, menegaskan anak buahnya bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran Buriram United pada separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) pada 6 dan 13 Mei depan.
Skuad Harimau Selatan mengesahkan kemaraan ke peringkat empat terbaik sebagai naib juara Kumpulan B selepas terikat 1-1 dengan kelab Vietnam, Nam Dinh dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Thien Truong, kelmarin.
Buriram United muncul juara Kumpulan A, manakala Selangor FC mengiringi wakil Thailand itu sebagai naib juara, sekali gus membuka peluang kepada dua wakil kelab Malaysia untuk melangkah ke pentas final kejohanan berprestij serantau itu.
JDT dan Buriram bukan lawan asing apabila kedua-dua pasukan pernah bertembung dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE), menjadikan pertemuan separuh akhir itu dijangka berlangsung sengit dan berintensiti tinggi.
“Kita akan bermain menentang Buriram. Ia sesuatu yang bagus. Bila anda layak ke separuh akhir, sudah pasti kita akan menentang pasukan yang hebat. Ini bukan alasan. Anda perlu bermain menentang empat pasukan terbaik yang sudah layak.
“Sekarang, kita kena cuba mara ke final sebab ia sesuatu yang positif buat kita. Seperti yang saya beritahu anda sebelum ini, kita perlu kekal bersaing dalam kejohanan-kejohanan besar,” kata Munoz.
Dalam aksi menentang Nam Dinh itu, jaringan tuan rumah dihasilkan oleh Caio Cesar pada babak pertama, sebelum Bergson Da Silva memastikan JDT tidak pulang tangan kosong apabila meledak gol penyamaan tiga minit sebelum tamat perlawanan.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Munoz mengakui anak buahnya berdepan cabaran sukar terutama beraksi di gelanggang lawan, namun tetap mempamerkan corak permainan positif serta mencipta beberapa peluang berbahaya.
“Kedua-dua pasukan memberi aksi yang baik dan kami mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol namun ia tidak berhasil. Kami ke sini dengan misi mencipta kemenangan tetapi memperolehi mata juga adalah satu keputusan yang baik.
“Kami berjaya ke separuh akhir namun malangnya kami layak sebagai naib juara. Apa pun kami akan terus beri tumpuan untuk mencipta keputusan positif,” jelasnya.-UTUSAN










