PETALING JAYA: Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukan ‘kambing hitam’, sebaliknya melepaskan jawatan demi bola sepak negara.
Perkara itu diakui bekas Exco FAM yang juga legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan selepas ada segelintir pihak yang lantang menghukum bekas-bekas Exco FAM.
Katanya, tindakan melepaskan jawatan bukan pengakuan kegagalan, sebaliknya pengorbanan demi menyelamatkan badan induk bola sepak negara daripada krisis yang melanda.
Oleh itu katanya, langkah tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum atau menutup ‘pintu’ kepada bekas Exco FAM untuk kembali menyertai kepimpinan badan induk itu.
“Kami bukan kambing hitam, kami sebenarnya tidak pernah lari daripada tanggungjawab dan kami melakukan pengorbanan demi kebaikan bola sepak negara, demi FAM.
“Saya masih baharu dalam FAM, tiba-tiba krisis ini berlaku. Kami membaca statut (Statut FAM), membaca semua peraturan. Cara terbaik untuk membersihkan nama baik FAM adalah dengan meletak jawatan,” jelasnya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa peletakan jawatan beramai-ramai itu merupakan helah politik untuk membuka laluan kembali merebut jawatan lama dalam pemilihan akan datang.
Namun begitu, Zainal tidak menafikan hasrat untuk kembali menyumbang kepada FAM, tetapi menegaskan keputusan tersebut bergantung kepada semua ahli gabungan badan induk itu.- UTUSAN










