LIVERPOOL: Manchester City berdepan tugas sukar untuk menembusi benteng pertahanan Liverpool di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi esok.
Berdasarkan statistic, City yang juga penyandang juara mempunyai kelebihan, namun ‘sumpahan’ di Anfield sering kali memerangkap skuad kendalian Pep Guardiola.
Sejak Chelsea memenangi kejuaraan musim 2016-17, hanya Liverpool dan City bergilir menjulang trofi EPL, dengan City meraih enam gelaran manakala Liverpool dua.
Namun, di sebalik dominasi itu, Anfield kekal sebagai gelanggang paling sukar untuk ditembusi anak buah Guardiola.
Pengendali dari Sepanyol itu hanya menang sekali di Liverpool, kemenangan 4-1 pada Februari 2021 ketika Reds beraksi di stadium kosong akibat sekatan pandemik.Secara keseluruhan, City hanya mencatat satu kemenangan dalam 22 kunjungan terakhir ke Anfield.
Sepanjang tempoh itu, mereka tewas 14 kali dan seri tujuh kali, dengan satu-satunya kemenangan sebelum era Guardiola hadir pada Mei 2003 menerusi dua gol Nicolas Anelka, termasuk jaringan penentuan pada saat akhir.
Anfield juga menjadi satu daripada hanya dua venue EPL di mana Erling Haaland masih buntu menjaringkan gol, selepas tiga kali beraksi di situ. Satu lagi ialah Stadium of Light.
Ketika ini, Haaland berdepan kemerosotan prestasi apabila hanya menjaringkan satu gol daripada permainan terbuka dalam 12 perlawanan terakhir.
Jika City menang kali ini, ia menjadi kali pertama mereka menewaskan Liverpool dua kali dalam satu musim liga sejak 1936-37, sekali gus melengkapkan ‘double’ pertama ke atas Reds dalam tempoh 89 tahun.
City belum bolos pada separuh masa pertama perlawanan EPL sepanjang tahun 2026 sambil menjaringkan enam gol, namun gagal menjaringkan sebarang gol pada babak kedua dan dibolosi enam kali.
Sebaliknya, Liverpool di bawah kendalian Arne Slot memperlihatkan semangat juang tinggi.
Reds mengutip 28 mata daripada situasi ketinggalan sejak jurulatih dari Belanda itu mengambil alih, termasuk kemenangan 4-1 ke atas Newcastle selepas terlebih dahulu dibolosi.
Malah, sejak awal musim 2024-25, Liverpool sudah menjaringkan 41 gol dalam perlawanan di mana mereka ketinggalan terlebih dahulu, hanya dibezakan satu gol dengan Brighton yang merekodkan 42 jaringan.-AGENSI










