JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memuji aksi Joao Figueiredo yang masih mempunyai sentuhan berbisa apabila meledak gol pembukaan ketika membelasah Imigresen FC 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Menurut Munoz, jaringan itu amat bermakna buat pemain warisan Harimau Malaya itu selepas empat bulan tidak beraksi ekoran tindakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atas kesalahan pemalsuan dokumen.
Katanya, tindakan menurunkan pemain kelahiran Brazil itu amat tepat bagi memulihkan semangat juang dan keyakinannya untuk kembali menyarung jersi Harimau Selatan.
“Bukan mudah buat mana-mana pemain untuk kembali konsisten setelah terlepas aksi kompetitif dalam tempoh yang panjang. Joao (Figueiredo) memanfaatkan peluang diberikan dan curahkan segalanya di atas padang.
“Sebelum dikenakan tindakan penggantungan, Joao telah menjaringkan lebih daripada 10 gol dan jaringan hari ini memberi perkembangan positif buatnya. Bayangkan jika Joao, Arif (Aiman), Hector (Hevel) dan Jon Irazabal berada dalam pasukan sepanjang aksi liga, mungkin kita lebih sukar digugat,” katanya.
Kali terakhir Figueiredo menjaringkan gol buat JDT adalah ketika menentang Bangkok United FC dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN pada 25 September lalu.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Munoz menyifatkan JDT berdepan kesukaran untuk meruntuhkan benteng pertahanan lawan dan hanya berjaya mencipta satu jaringan gol sahaja menerusi Figueiredo pada babak pertama.
Katanya, pertukaran yang dilakukan pada babak kedua dengan membawa masuk Hevel dan Yago Cesar memperhebatkan lagi jentera serangan.
“Kita sudah melepasi halangan pertama dalam akan berdepan tujuh lagi perlawanan dalam bulan ini membabitkan aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) serta suku akhir Piala Malaysia.
“Majoriti perlawanan ini berlangsung di tempat lawan, jadi kita perlu memastikan setiap pemain berada di tahap yang terbaik bagi mengharungi jadual padat ini,” ujarnya.-UTUSAN










