LONDON: Manchester City belum mengibarkan bendera putih dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), meskipun terikat 2-2 dengan Tottenham Hotspur, semalam.
Pengurusnya, Pep Guardiola berkata, City masih memiliki peluang untuk mencabar Arsenal, walaupun bergelut selepas melakar satu kemenangan daripada enam perlawanan terakhir liga.
“Harapan sentiasa ada, kami perlu menang selepas ini, tetapi ada banyak kesukaran. Pemain kembali pulih dan saya lihat semangat luar biasa serta banyak perkara positif.
“Kami berdepan kecederaan, sebulan lalu ada sembilan atau 10 pemain terpaksa berehat, tetapi pada masa sama kami masih di sini dan jadual perlawanan memang seperti ini,” katanya.
City bermula garang apabila mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi Rayan Cherki dan Antoine Semenyo, namun selepas rehat tuan rumah bangkit untuk mengikat kedudukan.
Guardiola jelas kecewa dengan jaringan pertama Tottenham menerusi Dominic Solanke yang disahkan VAR, selepas bola terkena tumit pertahanan City, Marc Guehi.
“Jika pertahanan tengah melakukannya terhadap penyerang, ia adalah penalti.Permainan berlangsung baik dan kadang-kadang untuk bola jauh serta bola kedua anda terlepas.
“Kami lebih suka tiada situasi serangan balas tetapi isu emosi untuk gol pertama yang pengadil berikan kepada Spurs dan selepas itu momentum sukar dikawal,” kata Guardiola.
Pengurus City itu turut dilayangkan kad kuning kerana bantahan dan dilihat sukar menerima keputusan tersebut apabila tayangan ulangan dipaparkan di skrin stadium.
Lebih perit, Solanke sekali lagi mencuri tumpuan apabila menyempurnakan sepakan tumit berani hasil hantaran Conor Gallagher untuk gol penyamaan, sekali gus menyaksikan City kekal di tangga kedua liga dan kini ketinggalan enam mata di belakang Arsenal.-AGENSI










