MANCHESTER: Michael Carrick menyifatkan jaringan saat akhir Benjamin Sesko ketika Manchester United menumpaskan Fulham 3-2 sebagai antara detik paling bermakna pernah dilaluinya di Old Trafford.
Bekas pemain tengah The Red Devils itu mengakui anak buahnya memperlihatkan karakter sebenar yang enggan mengalah biarpun Fulham berjaya meledak gol penyamaan pada masa kecederaan.
Penyudah Sesko, menjadi pemisah apabila gol keempatnya dalam empat perlawanan memastikan kemenangan ketiga berturut-turut buat Carrick, sekali gus melonjakkan United ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris(EPL).
“Saya boleh katakan ia satu perasaan terbaik. Antara detik terbaik saya pernah lalui di sini. Anda boleh menilai prestasi, ada baik dan kurang baik, kemudian datang detik kegembiraan dan keterujaan seperti ini.
“Bagi saya tiada tempat lebih baik daripada di hadapan ‘Stretford End’ seperti ini. Ia memberi makna lebih besar.
“Orang ramai pulang bukan sekadar ‘United menang hari ini’, ia lebih daripada itu, emosi dan perasaan itulah sebabnya kami amat menyukainya,” katanya.
Namun, di sebalik kemenangan itu, Carrick mengakui United masih jauh daripada sempurna, terutama selepas gagal ‘membunuh’ perlawanan lebih awal sebelum dihukum dengan dua jaringan lewat Fulham.
“Karakter pemain terserlah selepas minie ke-90, untuk bangkit seperti itu selepas apa yang kami lakukan minggu lalu mungkin perkara paling menggembirakan. Terus percaya dan yakin.
“Kami boleh bermain lebih baik dan itu yang paling melegakan. Sepanjang perlawanan kami boleh lakukan banyak perkara dengan lebih baik pada detik tertentu tetapi saya tidak boleh mempertikaikan keyakinan pemain,” katanya.- AGENSI










