PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak, mengakui cabaran besar menanti anak buahnya apabila berdepan Brunei DPMM pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, malam ini.
Katanya, kelebihan beraksi di laman sendiri pasti akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh tuan rumah yang berhasrat merekodkan keputusan positif sebagai bekalan menjelang perlawanan timbal balik di Kuching pada 14 Februari depan.
Menurut Aidil, tekanan bermain di gelanggang lawan dan sokongan padu penyokong tuan rumah dijangka memberi kesukaran tambahan kepada anak buahnya namun mereka sudah bersedia untuk meraih keputusan positif.
“Malam esok (malam ini) kami akan hadapi perlawanan yang sukar dari segi tekanan kerana beraksi di gelanggang lawan dan sokongan padu penyokong tuan rumah.
“Kita juga terpaksa merombak barisan kesebelasan utama yang berbeza kerana kebanyakan pemain utama mengalami kecederaan,” kata Aidil yang telah mempunyai strategi terbaik bagi meraih keputusan positif.
Aidil turut menegaskan bahawa ketiadaan beberapa tonggak utama tidak menjejaskan perancangan dan pendekatan taktikal yang telah dirangka oleh barisan kejurulatihan.
Beliau percaya pemain simpanan yang bakal diberi peluang mampu memikul tanggungjawab dan memberikan persembahan terbaik demi pasukan.
“Saya percaya pemain simpanan yang ada juga mampu melaksanakan tugas mereka dengan baik seperti mana diberikan oleh pemain utama.
“Pemain juga perlu kekal berdisiplin dan berwaspada sepanjang perlawanan, khususnya di benteng pertahanan, bagi mengelak pintu gol dibolosi dengan mudah,” katanya.-UTUSAN










