PETALING JAYA: Skuad wanita negara yang dibarisi pemain muda tunduk kepada China 1-4 dalam aksi pembukaan Kumpulan W pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Qingdao, China, hari ini.
Perseorangan wanita No. 1 Malaysia, K. Letshanaa gagal menghadiahkan mata buat pasukan selepas tumpas straight set kepada Han Qian Xi 18-21, 10-21 dalam masa 40 minit.
Ini merupakan kekalahan kelima pemain No. 37 dunia itu ditangan Qian Xi yang menghuni ranking ke-38 dunia.
Beregu wanita ke-25 dunia, Ong Xin Yee-Carmen Ting pula bukanlah tandingan buat gandingan handalan No. 4 dunia, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian apabila mereka kalah mudah 10-21, 8-21 dalam masa 31 minit.
Ketinggalan 0-2, Wong Ling Ching yang diletakkan sebagai perseorangan No. 2 negara turut gagal merapatkan jurang kedudukan setelah dia tewas kepada Xu Wen Jing 14-21, 7-21 dalam masa 29 minit.
Keputusan 0-3 telah memastikan kemenangan buat China, namun, beregu kedua Malaysia, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan enggan membiarkan kekalahan tersebut mengganggu fokus mereka untuk sekurang-kurangnya mencari mata sagu hati.
Kerja keras Zi Yu-Noraqilah yang menghuni ranking ke-288 dunia ternyata berbaloi apabila mereka berhasil mengejutkan beregu No. 72 dunia, Luo Yi-Wang Ting Ge 13-21, 21-18, 21-17 dalam masa 1 jam 5 minit.
Oo Shan Zi yang menjadi pertaruhan terakhir pasukan negara, bagaimanapun, gagal meraih mata kedua Malaysia apabila akur kepada Yuan An Qi 11-21, 11-21 dalam masa 37 minit. – UTUSAN










