Barca longlai di Metropolitano

Barca longlai di Metropolitano

PEMAIN Atletico Madrid meraikan kejayaan mereka membelasah Barcelona 4-0 dalam aksi separuh akhir pertama Copa del Rey di laman sendiri, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Jurulatih Barcelona, Hansi Flick mengakui pasukannya menerima pengajaran berguna selepas dibelasah 4-0 oleh Atletico Madrid dalam aksi separuh akhir pertama Copa del Rey di Stadium Metropolitano, semalam.

Juara bertahan dan pendahulu La Liga itu longlai pada separuh masa pertama apabila skuad kendalian Diego Simeone meledak empat gol sebelum rehat, sekali gus meletakkan Barcelona dalam situasi sukar menjelang perlawanan kedua.

Flick tidak berselindung mengkritik persembahan anak buahnya yang disifatkan gagal beraksi sebagai satu pasukan.

“Kami tidak bermain dengan baik pada separuh masa pertama sebagai satu pasukan, kami tidak bermain seperti satu pasukan.

“Jarak antara setiap pemain terlalu jauh dan kami tidak menekan seperti yang kami mahukan.

“Dalam 45 minit pertama kami menerima satu pengajaran besar. Kadang-kadang adalah baik untuk mendapatkannya pada waktu yang tepat, mungkin hari ini adalah waktu yang sesuai.

“Separuh masa kedua jauh lebih baik dan kami masih ada satu lagi perlawanan dan kami akan berjuang (untuk menang) dalam perlawanan itu,” kata Flick kepada pemberita.

Dalam pada itu, Flick turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan video bantuan pengadil (VAR) yang membatalkan jaringan Pau Cubarsi pada babak kedua.

“Ia satu kekecohan, memang satu kekecohan seperti itu dan kemudian mereka perlu menunggu entah berapa minit, adakah tujuh minit?.

“Mereka menemui sesuatu dalam tujuh minit itu? Baiklah. Bagi saya, apabila saya melihat situasi itu, jelas (tiada) ofsaid tetapi pada akhirnya mungkin mereka nampak sesuatu yang berbeza, tetapi beritahulah kami.

“Tiada komunikasi dan ini sangat buruk di sini,” kata Flick. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN