LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mula resah apabila senarai kecederaan di kem The Gunners semakin meningkat ketika pasukan itu ghairah memburu empat kejuaraan musim ini.
Kemenangan 4-0 ke atas Wigan Athletic dalam aksi Piala FA semalam, sepatutnya menjadi tonik terbaik menjelang jadual padat, namun krisis kecederaan menggusarkan Arteta.
Dalam aksi di Stadium Emirates itu, Riccardo Calafiori terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan ketika sesi pemanas badan, manakala Ben White pula dikeluarkan pada babak kedua.
Sebelum itu, kapten pasukan, Martin Odegaard tidak diturunkan susulan kecederaan yang dialami akibat hentakan ketika aksi liga menentang Brentford.
Penyerang Jerman, Kai Havertz pula dijangka terlepas baki aksi bulan ini, manakala pemain tengah Sepanyol, Mikel Merino mungkin menutup tirai musim lebih awal selepas menjalani pembedahan kaki.
“Dulu penyerang, kemudian pertahanan, sekarang pemain tengah pula. Sudah tentu saya bimbang,” kata Arteta.
Menurutnya, Arsenal masih mampu bertahan dengan sumber sedia ada, namun kepulangan beberapa pemain utama amat diperlukan bagi memastikan kestabilan taktikal serta memberi lebih variasi dalam perancangan perlawanan.
Ketika ini, The Gunners mendahului carta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan empat mata, selain mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara UEFA dan bakal berdepan Manchester City dalam final Piala Liga Inggeris.
Arsenal akan bertandang ke Molineux menentang Wolverhampton Wanderers sebelum aksi panas derbi utara London menentang Tottenham Hotspur hujung minggu depan.
Dalam aksi menentang Wigan, Arsenal meledak empat gol dalam tempoh 27 minit pertama menerusi Noni Madueke, Gabriel Martinelli, jaringan sendiri Jack Hunt serta Gabriel Jesus.-AGENSI










