GEORGE TOWN: Pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berharap anak buahnya mampu mengekalkan rentak positif selepas melakar dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, mereka berhak untuk meraikan kejayaan tersebut selepas terumbang-ambing sepanjang pusingan pertama liga pada musim ini.
“Tahun 2026 ini nampaknya kita mula dengan langkah kanan dan saya harap, momentum ini dapat diteruskan oleh para pemain, sekali gus memberi keyakinan kepada mereka setiap kali turun beraksi,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyaksikan skuad bimbingannya membenam Melaka FC 5-0 dalam aksi yang dilihat agak berat sebelah khususnya pada separuh masa pertama di Stadium Bandaraya, kelmarin.
Kejayaan itu menyusul selepas Penang FC mengejutkan Terengganu FC 2-0 dalam aksi pertama pusingan kedua Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu pada 3 Januari lalu.
Dalam pada itu, Wan Rohaimi berharap agar kecederaan yang dialami oleh ayam tambatan Penang FC, Dylan Wenzel-Halls ketika menentang Melaka FC tidak begitu serius.
“Setakat ini, hanya Dylan yang cedera dan kita sedang menunggu laporan penuh (perubatan). Harap-harap dia dapat diturunkan ketika menentang Kuala Lumpur City FC selepas ini,” ujar beliau.
Sementara itu, ketua jurulatih Melaka FC, E. Elavarasan berkata, para pemainnya banyak melakukan kesilapan mudah terutamanya dalam tempoh 15 minit pertama permainan sehingga membolehkan tuan rumah menjaringkan empat gol.
“Kita kena akui perkara ini dan saya harap, dalam perlawanan berikutnya, para pemain akan meningkatkan prestasi mereka untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik,” katanya yang baru sahaja mengambil alih pasukan itu daripada Datuk K. Devan yang meletakkan jawatan, Disember lalu.-UTUSAN










