PETALING JAYA: Proses pemulihan Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjalan lancar dengan pelumba berbasikal trek negara itu telah membuat kemunculan semula pada Siri Kejohanan Asean Piala Presiden 2 di Velodrom Nasional Nilai, kelmarin.
Pelumba berusia 30 tahun itu menjalani pembedahan lutut pada September tahun lalu mengejutkan peminat basikal trek apabila mara ke separuh akhir acara keirin meskipun dijangka akan kembali bertanding pada April depan.
Shah berkata, lututnya tidak mengalami kesakitan namun harus berwaspada terutamanya ketika menjalani latihan intensiti tinggi.
“Lutut saya tidak lagi sakit tetapi saya masih perlu berhati-hati kerana tendon telah sembuh tetapi masih memerlukan masa untuk matang,” kata Shah.
Shah kini hanya melakukan latihan pada kedua-dua kakinya dan akan memulakan latihan sebelah kaki sahaja selepas mendapat kebenaran doktor bagi memastikan pemulihan lutut berjalan lancar tanpa risiko cedera semula.
Dalam masa yang sama, pelumba kelahiran Muar, Johor itu memilih untuk bertanding di Nilai bagi mendapatkan sentuhan perlumbaan sebelum Siri Piala Dunia UCI yang bermula pada Mac ini.
“Saya memilih untuk berlumba kerana saya enggan duduk ditepi tanpa rasai kejohanan. Saya perlu ada aura untuk bersedia pada Kejohanan Piala Dunia nanti.
“Setakat ini saya baru memulihkan sebahagian daripada otot kaki kanan yang hilang hampir 50 peratus selepas pembedahan, dan saya perlu terus bekerja keras di gimnasium,” jelasnya
Shah dijangka kembali bertanding pada Siri Kedua Piala Dunia di Hong Kong pada 17 hingga 19 April dan pusingan akhir Piala Dunia di Malaysia pada 24 hingga 26 April.
Kejohanan itu turut menjadi kunci untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Shanghai, China pada Oktober ini serta menjadi mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.-UTUSAN










