NEWCASTLE: Antoine Semenyo menyifatkan suasana di Manchester City sebagai cukup sempurna selepas memberi impak pantas sejak menyertai skuad kendalian Pep Guardiola.
Semenyo yang menyertai City dengan nilai perpindahan 65 juta pound (RM355 juta) dari Bournemouth, sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United pada aksi pertama separuh akhir pertama Piala Liga di St James’ Park, semalam.
Gol jaringan pemain antarabangsa Ghana itu hadir pada minit ke-53 hasil penyudah jarak dekat selepas menerima hantaran lintang Jeremy Doku, sekali gus menjadikannya gol kedua daripada dua penampilan awal bersama City.
“Seluruh persekitaran di sini sempurna. Semua orang yakin dan sentiasa mahu mencapai tahap terbaik.
“Saya cepat menyesuaikan diri dan benar-benar menikmatinya. Saya hanya membawa keyakinan yang saya ada di Bournemouth ke sini dan bermain dengan senyuman di wajah saya. Saya menikmati setiap saat,” katanya.
Semenyo hampir menambah gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu, namun jaringannya dibatalkan selepas semakan VAR yang panjang kerana keputusan ofsaid.
Meskipun begitu, City tetap berada di landasan kukuh ke final apabila Rayan Cherki menambah gol kedua pada masa kecederaan, memberikan kelebihan besar menjelang aksi timbal balik pada 5 Februari ini.
Prestasi awal Semenyo turut mencatat sejarah kecil apabila dia menjadi pemain City pertama yang menjaringkan gol dalam dua penampilan pertamanya sejak Emmanuel Adebayor melakukannya pada 2009.-AGENSI










