PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh mahu menjadikan lima perlawanan persahabatan di Australia sebagai platform untuk mencari ramuan terbaik bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia di Ismailia, Mesir pada 1 hingga 7 Mac depan.
Skuad hoki negara akan berlepas ke Perth, Australia pada 13 Januari ini bagi menghadapi tiga aksi persahabatan menentang Kelab Western Australia dan dua perlawanan bertemu pasukan kebangsaan Australia.
Sarjit berkata, daripada 30 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan yang bermula secara rasmi pada Isnin lalu, hanya 22 sahaja dibawa ke Perth.
“Kita akan bawa 20 pemain padang dan dua penjaga gol. Tak perlu kita membawa lima penjaga gol sebab peluang nak main tak banyak. Untuk ke kelayakan pula kita hanya boleh bawa 20 pemain sahaja.
“Kita akan menghadapi lima aksi persahabatan di Australia dan ini akan menjadi penanda aras kepada kita sebab kita nak buat senarai akhir bagi skuad utama.
“Kita kena layak ke pusingan akhir Piala Dunia kerana itu adalah keutamaan kami,” katanya.
Dalam panggilan kali ini, Sarjit menyenaraikan enam pemain daripada skuad remaja untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan dan kesemua mereka menunjukkan prestasi terbaik.
“Kami kena bagi peluang sekurang-kurangnya empat daripada mereka untuk dibawa ke Perth. Kami mencari kombinasi di bahagian tengah,” katanya.
Enam pemain tersebut adalah penjaga gol; Haziq Muizuddin, pertahanan; Andywalfian Jeffrynus, Azimuddin Syakir, tengah; Adam Ashraf Johari, Addy Jazmi Jamlus dan penyerang; Danish Aiman Khairil Anuar yang beraksi di Piala Dunia Remaja Lelaki 2025, Chennai, baru-baru ini. -UTUSAN









